Perihal Napoleon dan Tok Guru

A
A
A

SEMALAM saya kesedihan pula. Sedih apabila Boxer terpaksa dihantar ke hospital kerana sakit. Tetapi sebenarnya, Boxer telah dihantar ke pusat penyembelihan untuk dibunuh. Jasa-jasa Boxer yang kuat bekerja dan setia seolah-olah tidak dipedulikan pula.

Jahat sungguh Napoleon sang babi ini. Setelah memerintah, Napoleon berubah menjadi gila kuasa. Sanggup khianat dengan janji dan impian yang sebelum ini ditaburkan kepada pengikutnya untuk terus menyokongnya.

Akhirnya, pengikutnya menderita. Slogan Maxim pula telah ditanam rapat-rapat ke dalam minda pengikut hanya untuk kepentingan Napoleon dan kuncu-kuncu babinya sahaja.

Slogan , “kuat bekerja”, “Napoleon sentiasa betul”, konon-kononnya, hanya sandiwara sahaja. Babi sungguh Napoleon ini.

Begitulah cerita yang saya baca hasil karya George Orwell bertajuk Animal Farm yang sudah sampai ke penghujungnya.

Minggu ini pula saya berada di Pulau Pinang selama seminggu. Saya berulang-alik pula menaiki komuter dari Gurun ke Butterworth. Pengangkutan komuter agak cekap juga. Bertolak dan sampai ke destinasi tepat pada masanya.

Saya sempat juga berbual dengan seorang pakcik ketika itu. Pakcik Khalid namanya. Kata Pakcik Khalid dia datang untuk menziarahi kawannya yang sakit di Hospital Pulau Pinang.

“Pakcik dari Alor Setar. Kalau naik kereta mahu belanja dekat RM100. Naik komuter ni lebih kurang RM10 sahaja belanjanya.”

Artikel Berkaitan:

Saya mengangguk-angguk tanda setuju. Ketika itu pula saya sedang memegang dua buah buku. Sedang membuat pertimbangan pula hendak menyambung baca buku yang mana sementara belum tiba ke destinasi yang hendak dituju. Salah satunya buku Animal Farm karya tulisan George Orwell.

“Cerita apa tu?” tanya Pakcik Khalid.

“Oh cerita Tok Guru tulisan Shahnon Ahmad,” kata saya pula.

“Cerita tentang apa?” tanya Pak Khalid lagi sambil menunjuk ibu jarinya kepada buku yang saya sedang pegang itu.

Maka saya pun bercerita kepada Pakcik Khalid tentang kisah buku ini, “kesian Mami, Mamu ingin memadukan Mami.

Walaupun Mami agak berat hati, namun Mamak memberitahu yang ini adalah sunnah dan satu pekerjaan yang mulia. Lalu Mamu, memetik kata-kata Tok Guru pula,

“Peranan isteri cukup senang kalau hendak masuk syurga. Selalulah jinakkan nafsu suami, terutama suami yang alim".

Kerja orang alim ini adalah berdakwah. Itu peranan yang diberi oleh ALLAH. Mulia kerja dakwah ini kerana menyeru ke jalan yang benar. Tapi ramai musuh pula bila hendak berbuat dakwah ini. Salah satu musuhnya ialah nafsu jantinanya yang selalu hendak menyesatkan pendakwah itu sendiri.

Jadi, inilah tugas utama isteri pendakwah iaitu menundukkan nafsu suami. Kalau isteri tak boleh tundukkan seorang diri, maka carilah orang lain pula. Iaitu cari isteri lain untuk suami pula.

Hidup bermadu ini bagi isteri adalah pengorbanan yang besar juga. Itulah sebabnya Islam membenarkan lelaki kahwin lebih daripada satu iaitu sehingga empat. Ini khusus untuk orang alim terutamanya supaya lancar pula kerjanya ketika menjalankan kerja-kerja dakwah.”

Begitulah beritahu saya ketika memetik sedikit sebanyak petikan daripada buku itu kepada Pakcik Khalid. Pakcik Khalid hanya tersenyum sambil membetulkan kopiah yang kelihatan senget.

“Macam alasan sahaja,” tegas Pakcik Khalid sambil tersenyum sinis.

Saya pun tersenyum juga, sambil memberitahunya, “ini amanat Tok Guru pakcik. Kita patuh dan taat. Lagipun ada sandaran hadis dan al-Quran.

Pakcik Khalid hanya diam dan terus memejamkan matanya. Jarinya yang agak besar menggaru-garu lengannya yang agak besar juga. Menandakan orang yang bekerja keras dan menggunakan tenaga sepenuhnya.

“Buat bendang,” kata Pakcik Khalid ketika saya bertanya kepadanya sebelum itu sama ada masih bekerja atau sudah pencen.

Saya pula terus melayani perasaan dan menyambung semula bacaan buku Tok Guru itu pula apabila melihat Pakcik Khalid terus memejamkan matanya. Dua buku yang menjadi bacaan saya ini merupakan buku yang telah ditulis lama.

Buku-buku Animal Farm pertama kali diterbitkan pada tahun 1945 dan Tok Guru pula telah diterbitkan pertama kali pada tahun 1988. Cerita-cerita yang terkandung dalam dua buku ini amat menarik dan juga agak ke hadapan dalam pemikiran penulisnya walaupun ia berdasarkan kepada pengalaman penulis dan keadaan semasa ketika itu sahaja.

Namun ia terpakai juga pada masa kini. Banyak persamaannya juga apabila dilihat dari cerita-cerita yang muncul sejak akhir-akhir ini. Cerita berkaitan politik telah bercampur aduk juga dengan cerita agama.

Seakan-akan agama sebagai kuda tunggangan, politik sebagai alat untuk pemilikan kuasa untuk mencapai sesuatu perkara yang sedang berleluasa pula. Amat menyedihkan sekali. Dan juga amat mengecewakan kebanyakan rakyat marhaen juga.

Seperti kata Pak Din aktivis hebat Pulau Pinang ketika saya temui baru-baru ini, yang juga kecewa kerana tidak dapat menikmati Bantuan Sara Hidup (BSH),

“Cacamarba betui!”

* Penulis seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk bersatira, email beliau : mrfaisalmuhamad@gmail.com