Suntik vaksin Covid-19 dari rumah ke rumah

Mohd Salim (kanan) beramah mesra dengan Samsiah Yusof, 73, yang baru selesai menerima vaksin di rumahnya di Kampung Bukit Kerdas, Jempol pada Selasa.
Mohd Salim (kanan) beramah mesra dengan Samsiah Yusof, 73, yang baru selesai menerima vaksin di rumahnya di Kampung Bukit Kerdas, Jempol pada Selasa.
A
A
A

JEMPOL - Menyedari kesukaran pesakit terlantar dan orang kurang upaya (OKU) hadir ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Covid-19, Pejabat Kesihatan Daerah Jempol mengambil inisiatif menggerakkan 'team mobile' dari rumah ke rumah.

Program yang mendapat kerjasama dari pejabat Ahli Parlimen Jempol dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) itu merupakan program vaksinasi bergerak yang pertama dilaksanakan di daerah itu bermula minggu ini.

Penyelaras PPV Daerah Jempol, Dr Ismul Adham Mohd Zaini berkata, seramai lima hingga enam orang petugas kesihatan akan pergi ke rumah penerima vaksin bermula jam 9 pagi sehingga 4 petang.

"Bagi golongan ini, mereka sukar datang ke PPV lebih-lebih lagi dalam keadaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 ini.

"Dengan inisiatif yang diambil ini ia secara tidak langsung dapat mengelakkan penduduk keluar rumah," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Program Imunisasi Covid-19 Luar Bandar Parlimen Jempol pada Selasa.

Menurutnya, minggu depan program itu akan dilaksanakan pada Isnin hingga Khamis dengan menyasarkan sekurang-kurangnya 20 buah rumah.

Pada masa sama katanya, satu lagi kumpulan perubatan akan ditugaskan melaksanakan program vaksinasi Covid-19 di PPV di Balai Raya Kampung Lonek.

"Kita ada senarai nama yang dikeluarkan oleh pejabat Parlimen Jempol dan RISDA. Kita sasarkan dalam tempoh tiga hari program ini dilaksanakan, seramai 500 orang telah divaksin," katanya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu beliau berkata, berdasarkan pemerhatiannya terdapat dua kategori permasalahan dihadapi bagi golongan warga emas untuk mendapatkan vaksin.

Ujarnya, ada yang telah pun mendaftar vaksin tetapi hadapi masalah untuk ke PPV dan ada juga yang tidak tahu cara mendaftar.

"Apa yang kita nampak mereka ini bukan tak mahu daftar vaksin, tapi tak tahu. Jadi dengan cara turun rumah ke rumah ini lebih memudahkan mereka," katanya.

Sementara itu Ahli Parlimen Jempol, Datuk Mohd Salim Mohd Sharif yang turut hadir pada program itu berkata, beliau menerima banyak permintaan daripada penduduk warga emas yang mengharapkan program pemberian vaksin itu dipermudahkan.

Beliau yang juga Pengerusi RISDA berkata, dengan program turun padang sebegitu, mereka tidak perlu lagi risau soal pengangkutan.

"RISDA juga telah menggerakkan kesemua kenderaannya ke kawasan pedalaman untuk menjayakan program vaksinasi ini.

"Inisiatif ini juga memudahkan anak-anak atau ahli keluarga agar tidak perlu beramai-ramai hadir ke PPV membawa ibu bapa masing-masing," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, Risda juga bersedia menjadikan bangunannya untuk digunakan sebagai pusat kuarantin atau PPV.