X

Kindly register in order to view this article
!

Polis siasat kes anggota PBT rebut telefon penjaja

Polis membuka kertas siasatan berkaitan rakaman anggota PBT berebut telefon dengan seorang penjaja kecil bersebelahan sebuah bank, di Pasir Mas yang tular di media sosial pada Isnin.
A
A

PASIR MAS - Kertas siasatan berkaitan rakaman pegawai penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) berebut telefon dengan seorang penjaja kecil bersebelahan sebuah bank, di sini yang tular di media sosial pada Isnin sedang dalam siasatan polis.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mohd Nasaruddin berkata, siasatan berhubung kes berkenaan dibuka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang tugas penjawat awam dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan dan aib terhadap seorang penjawat awam turut dijalankan.

"Tindakan itu diambil susulan penjawat awam berkenaan hadir ke balai polis untuk membuat laporan berhubung kes tersebut selepas klip rakaman itu tular di media sosial," katanya.

Menurutnya, pada pagi Isnin pengadu bersama tujuh anggota penguat kuasa telah membuat operasi penguatkuasaan bersebelahan sebuah bank di bandar Pasir Mas ke atas penjaja tanpa lesen yang menyebabkan halangan di tempat awam.

Beliau berkata, semasa operasi sedang dijalankan seorang lelaki yang merupakan penjaja nasi bungkus telah membuat rakaman melalui telefon bimbitnya.

Mohd Nasaruddin berkata, pengadu telah cuba menghalang lelaki tersebut dari terus membuat rakaman bagaimanapun telah berlaku pergelutan antara mereka.

Katanya, semasa pergelutan berlaku lelaki berkenaan telah mengeluarkan kata-kata kesat serta menghalang pengadu menjalankan tugas.

"Suspek dikatakan tidak memberikan kerjasama apabila anggota penguat kuasa PBT memintanya untuk menyerahkan kad pengenalan untuk disaman atas kesalahan berniaga di ruang petak parking dan alat pengimbas suhu rosak.

"Pengadu turut mendedahkan suspek telah mempunyai dua rekod kesalahan berniaga di kawasan yang tidak dibenarkan oleh PBT pada Febuari dan Mac lalu.

"Ini merupakan kali ketiga suspek dikenakan saman dan untuk makluman kita sedang kesan suspek bagi membantu siasatan," katanya.

Menurutnya, orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak sembarangan dengan mengambil gambar, merakam video pada semua perkara dan kejadian dengan niat untuk meraih simpati, mengambil kesempatan, yang kononnya sebagai bukti perlakuan kesalahan berlaku.

Katanya, ada sesetengah pihak pula suka menjadikan bahan tersebut sebagai 'hidangan' di media sosial untuk mendapatkan ribuan 'like' dan 'share' dengan komen yang beribu berkisar kepada kata-kata kasar, kutuk mengutuk, fitnah dan berkata-kata sesuatu yang mengaibkan seseorang.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!