'Saya tawar diri sertai Mageran kerana banyak pengalaman'

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mendedahkan beliau menawarkan diri untuk menyertai Majlis Gerakan Negara (Mageran) kerana pengalamannya.

Menurutnya, ini kerana masalah yang melanda negara pada masa ini memerlukan pengalaman yang panjang.

“Saya mempunyai banyak pengalaman. Saya sudah tangani pelbagai jenis masalah (seperti) masalah kewangan, masalah politik dan masalah serangan terhadap matawang kita.

“Selama 22 tahun saya ada, saya dapat banyak pengalaman,” katanya ketika wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Dr Mahathir pada Khamis minggu lalu membawa usul penubuhan satu pasukan khas seperti yang pernah diguna pakai pada 1969 iaitu Mageran ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

Beliau berkata, cadangan berkenaan dikemukakan atas keyakinan ia mampu menyelesaikan isu ekonomi, politik, sosial dan kesihatan yang dihadapi negara kesan penularan Covid-19.

Katanya, Mageran 1969 yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Tun Abdul Razak Hussein berjaya menyelesaikan masalah politik apabila mengajak parti lawan menyertai kerajaan malah majlis itu juga telah menstabilkan politik dan ekonomi negara.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir yang merupakan Ahli Parlimen Langkawi menegaskan, sekiranya mahu menolaknya tidak mengapa.

Artikel Berkaitan:

“Kalau tak nak saya tak apa. Tapi saya sanggup walaupun sudah tua, saya sanggup nak berkhidmat lagi. Bukan nak suruh semua orang terima apa pendapat saya,” katanya.

Menurutnya, beliau mahu menyumbang kepada negara kerana pengalamannya.

“Dan bukan pasal nak jadi pembesar, saya dah pegang jawatan tertinggi dalam negara tak boleh lebih daripada itu.

“Apa boleh lebih daripada Perdana Menteri? Dua kali jadi Perdana Menteri, cukuplah. Tetapi banyak orang berpendapat bahawa patut saya gunakan pengalaman saya untuk kepentingan negara bukan untuk kepentingan saya,” jelasnya.