Mageran: Agong ada kuasa eksekutif tanpa nasihat daripada kerajaan

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berpendapat Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa eksekutif bagi menubuhkan Majlis Gerakan Negara (Mageran) tanpa cadangan daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Tegas Dr Mahathir, cadangan penubuhan Mageran yang diusulkan beliau juga tidak menyentuh tentang pertukaran kerajaan.

"Setelah darurat diisytihar, kuasa Yang di-Pertuan Agong dipertingkatkan. Yang di-Pertuan Agong seolah-olah menjadi ketua eksekutif dan boleh menangani beberapa masalah yang disebut serta boleh memberi sesiapa sahaja untuk menjalankan tugas supaya keputusan yang dibuat itu berjaya.

"Tidak disebut mesti dapat nasihat daripada kerajaan. Bahkan, apabila pada kali pertama kerajaan minta supaya diisytihar darurat, Yang di-Pertuan Agong menolak. Jadi kelihatan Al-Sultan Abdullah ada kuasa untuk terima atau tolak nasihat daripada kerajaan atau Perdana Menteri.

"Sudah tentu dalam kes ini, penubuhan Mageran seolah-olah membelakangkan kedudukan Perdana Menteri walaupun dalam cadangan Mageran ini, kita tidak cadang ada pertukaran kerajaan," katanya ketika Wawancara Eksklusif Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad secara maya disiarkan di platform Sinar Harian pada Selasa.

Dr Mahathir berkata, sebarang penolakan cadangan penubuhan Mageran seperti yang pernah dilaksanakan pada tahun 1969, mahupun Majlis Pemulihan Negara (MPN) oleh parti politik, disifatkan kemungkinan kerana khuatir kepentingan parti dibelakangkan.

Bagaimanapun beliau menekankan, masalah yang dihadapi negara ketika ini adalah lebih besar berbanding tahun 1969, justeru fokus perlu diberikan terhadap cara mengatasi masalah sedia ada.

"Kita cadang bahawa soal politik, manifesto dan sebagainya tidak mengganggu pemikiran kita tapi kita tumpu atasi masalah Covid-19, ekonomi, kewangan, sosial dan politik.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin ada (penglibatan) orang politik tapi mereka tidak harus utarakan kepentingan parti mereka atau manifesto mereka. Mesti anggap diri mereka sebagai rakyat Malaysia yang sayang kepada negara dan ingin utamakan negara bukan parti.

"Ahli lain adalah terdiri daripada pakar-pakar dalam bidang perubatan sosial, kewangan ekonomi dan bukan orang politik," katanya.

Dr Mahathir menambah, penubuhan Mageran pada pada pasca peristiwa hitam negara iaitu rusuhan kaum, terbukti membawa hasil yang berjaya mensejahterakan Malaysia sejak lebih 50 tahun lalu.

"Saya ingin jelaskan Parlimen boleh bersidang dalam masa Mageran, boleh dengar cadangan dan beri pendapat dan boleh bincang. Dengan Mageran, bebas untuk semua orang beri pendapat," katanya.