Sabah sasar 30,000 penduduk divaksin sehari bermula Julai

Hajiji melawat PPV Wisma Wanita yang dikhaskan untuk pemberian vaksin kepada penjawat awam negeri dan kerajaan di sekitar Kota Kinabalu.
Hajiji melawat PPV Wisma Wanita yang dikhaskan untuk pemberian vaksin kepada penjawat awam negeri dan kerajaan di sekitar Kota Kinabalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri Sabah menyasarkan seramai 30,000 orang penduduk di negeri ini akan menerima vaksin Covid-19 dalam sehari bermula Julai nanti.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, kadar semasa penerima vaksin ketika ini 13,000 orang sehari, namun bermula Jun bekalan vaksin yang diterima adalah setiap minggu dan pemberian vaksin turut dilakukan ke kawasan pedalaman menerusi pelbagai strategi oleh semua pihak.

"Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah memulakan program bergerak 'mobil outreach' ke kawasan pedalaman sejak 18 Mei lalu dengan melibatkan 26 pasukan iaitu satu pasukan untuk satu daerah.

"Sementara itu, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga akan memulakan program jiwa murni yang merupakan program suntikan vaksin ke kawasan terpencil di Sabah dan bermula di Long Pasia, Sipitang pada 24 Jun ini.

"Setakat ini, jenis bekalan vaksin ke Sabah ialah Pfizer, Sinovac dan AstraZeneca di mana pada Jun ini bekalan vaksin diterima setiap minggu. Mengikut perancangan kita menjangkakan mulai Julai seramai 30,000 orang sehari akan dapat diberi vaksin," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Wisma Wanita pada Selasa.

Hajiji berkata, menerusi strategi dan usaha yang diambil iaitu dengan pembukaan lebih banyak PPV, program outreach dan bekalan vaksin yang konsisten, beliau yakin Sabah akan mencapai imunisasi berkelompok hujung tahun ini.

"Saya yakin kerana bekalan vaksin yang tiba meningkat sebab itu kita jangka dapat berikan vaksin kepada 30,000 orang sehari.

"Kalau kita ikut bilangan ini, Insya-ALLAH kita boleh mencapai sasaran untuk memberi vaksin kepada 2.9 juta bagi individu berusia 18 tahun ke atas pada penghujung tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai lawatannya itu, Hajiji berkata, sebanyak 72 fasiliti kesihatan dan 23 PPV awam beroperasi bagi membantu program imunisasi yang sedang giat dilaksanakan serta mula diperluaskan kepada penduduk Sabah.

"PPV Wisma Wanita dengan kapasiti 400 orang memberi keutamaan kepada penjawat awam yang sering berada di lapangan dan berhadapan dengan orang awam.

"Selain itu, PPV Universiti Malaysia Sabah (UMS) yang juga baru beroperasi semalam dengan kapasiti 1,000 orang sehari akan menampung pemberian vaksin kepada warga pendidik, penuntut institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan penduduk berhampiran.

"Beberapa PPV awam lain akan mula beroperasi pada Jun ini iaitu PPV Dewan Masyarakat Manggatal, PPV Dewan KDCA, PPV Dewan Serbaguna Libaran dan Dewan IPG Balung," katanya.