X

Kindly register in order to view this article
!

Jadi ejen upahan negara asing, warga Singapura ditahan bawah ISA

Perintah Penahanan di bawah ISA telah dikeluarkan terhadap seorang warganegara Singapura berkuat kuasa 29 Januari 2021 kerana bertindak sebagai ejen upahan negara asing.
A
A

SINGAPURA - Perintah Penahanan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) telah dikeluarkan terhadap seorang warganegara Singapura berkuat kuasa 29 Januari 2021 kerana bertindak sebagai ejen upahan negara asing, menurut Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD) pada Selasa.

ISD berkata, Dickson Yeo ditahan jabatan itu pada 30 Disember 2020, susulan pengusirannya dari Amerika Syarikat (AS) selepas mengaku dan didakwa di mahkamah persekutuan AS kerana menjadi ejen haram kuasa asing di negara itu tanpa pengetahuan Peguam Negara.

"Siasatan ISD mendapati Yeo bekerja dengan perisik asing dan telah melakukan pelbagai tugas yang diberikan ejen asing itu bagi mendapatkan upah," kata jabatan itu dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam laman web Kementerian Dalam Negeri republik itu.

ISD berkata, Yeo mengaku dan tahu bahawa ejen asingnya bekerja dengan jabatan perisikan negara asing.

"Dia ditugaskan untuk mendapatkan maklumat dan melaporkan mengenai isu-isu yang menjadi perhatian ejen asingnya, termasuk maklumat berkaitan Singapura," katanya.

ISD menyatakan Yeo telah berjumpa pelbagai individu di Singapura dalam usaha mendapatkan maklumat bagi tujuan laporannya.

Yeo telah menubuhkan syarikat di Singapura bagi mengaburi aktiviti pengumpulan maklumat dan merekrut anggota baru untuk ejen asing itu.

"Dia juga pernah memohon untuk bekerja di sektor awam di Singapura untuk memudahkan dia mengumpul maklumat. Yeo telah melakukan kegiatan ini sejak 2016 dan ditahan di AS pada 2019," katanya.

Menurut ISD siasatan masih dijalankan dan Yeo perlu terus ditahan untuk memudahkan siasatan menyeluruh.

"Kerajaan Singapura memandang serius mana-mana individu yang menjalin hubungan sulit dengan kerajaan asing dan terlibat dengan kegiatan perisikan atas perintah kuasa asing yang mengancam keselamatan dan kepentingan negara kita, termasuk hubungan dua hala," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!