Kain rentang berniat jahat: NGO lapor polis

A
A

KUALA LUMPUR - Enam badan bukan kerajaan (NGO) membuat laporan polis berhubung kain rentang yang didakwa berniat jahat terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di dua lokasi di sini, Rabu lepas.

NGO terbabit ialah Pertubuhan Martabat Jalinan Muhibbah Malaysia (MJMM), Ikatan Rakyat Insan Muslim Malaysia (IRIMM), Gerak Kerja Gabungan Ayahanda Selangor (Gegas), Gerakan Reformis Rakyat Malaysia (Reformis), Amanah Rahsia Cekal (ARC) dan Dewan Ekonomi dan Sosial Muslim Malaysia (Desmma).

Laporan polis dibuat oleh Presiden IRIMM, Amir Amsaa Alla Pitchay dan Presiden MJMM, Abdul Rani Kulup Abdullah dengan ditemani Presiden Desmma, Mohd Fazil Abdullaah dan wakil NGO lain di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi pada jam 2.30 petang di sini hari ini.

Amir Amsaa berkata, laporan itu dibuat bagi menggesa pihak polis supaya menjalankan siasatan dan seterusnya mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang didapati mengantung kain rentang itu.

“Kain rentang yang menulis kata-kata meminta Perdana Menteri meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-8 adalah satu tindakan berniat jahat dan mengelirukan rakyat, jadi tindakan sewajarnya perlu dikenakan pada pihak yang memasangnya,” katanya kepada Bernama selepas membuat laporan itu.

Rabu lepas, media melaporkan kain rentang yang menyokong Anwar itu digantung di jejantas Jalan Bangsar dengan bertulis ‘Mahathir letak jawatan!!!, Anwar Ibrahim PM Ke-8, Demi selamatkan Malaysia’ berserta gambar Anwar dan logo PKR.

Kain rentang sama turut dikatakan muncul berhampiran Taman Permata di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), berdekatan pasar raya besar Giant.

Selain itu, kesemua NGO itu turut membuat laporan polis berhubung sebuah patung berhala yang tular kerana diletakkan di hadapan pintu masuk utama dewan solat Surau Sabilul Huda, Taman Pendamar Indah 1, Pelabuhan Klang, semalam.

Menurut laporan media, sebuah patung berhala ditemui bersebelahan pintu masuk utama Surau Sabilul Huda di kawasan Taman Pendamar Indah itu, Rabu lepas. - Bernama