Pengeluaran getah asli merosot 33.5 peratus pada April 2021

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PENGELUARAN getah asli merosot 33.5 peratus tahun ke tahun kepada 23,013 tan pada April 2021 berbanding 34,616 tan pada April 2020, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, ini berikutan faktor bermusim yang menyebabkan pokok kurang produktif.

Beliau berkata, perbandingan dari segi bulan ke bulan, pengeluaran getah asli susut sebanyak 36.2 peratus.

“Stok getah asli menurun 7.9 peratus pada April 2021 kepada 259,355 tan metrik berbanding 281,729 tan metrik pada Mac 2021. Kilang pemproses getah menyumbang sebanyak 90.3 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.6 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

“Pengurangan stok ini turut dipengaruhi oleh faktor di peringkat penawaran. Justeru, stok sedia ada juga digunakan bagi menampung pengurangan pengeluaran tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Mohd Uzir berkata, harga purata bagi lateks pekat merekodkan penurunan kepada 623.40 sen sekilogram berbanding Mac 2021 (680.20 sen sekilogram).

Katanya, Getah Mutu Malaysia 20 (G.M.M. 20) turut menunjukkan penurunan daripada 707.89 sen sekilogram kepada 667.85 sen sekilogram bagi tempoh yang sama.

"Penurunan ini berikutan kebimbangan mengenai pasaran hadapan getah di peringkat global," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah penggunaan getah asli di peringkat domestik ialah 47,096 tan metrik, meningkat 31.1 peratus berbanding bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Katanya, perubahan tahun ke tahun ini merupakan yang tertinggi dicatatkan berbanding perubahan pada suku pertama tahun ini.

“Penggunaan getah asli dalam pembuatan sarung tangan getah kekal mendahului sebanyak 34,716 tan metrik atau 73.7 peratus daripada jumlah penggunaan domestik pada April 2021 diikuti benang getah 4,198 tan metrik (8.9 peratus) serta tayar dan tiub 3,588 tan metrik (7.6 peratus).

“Penggunaan getah asli dalam pembuatan sarung tangan getah pada April 2021 meningkat sebanyak 10.4 peratus berbanding 31,456 tan metrik pada April 2020,” katanya.

Mengenai eksport, Mohd Uzir berkata, eksport getah asli Malaysia berjumlah 55,696 tan metrik pada April 2021, menurun 5.4 peratus berbanding 58,852 tan metrik pada Mac 2021 dengan China terus kekal sebagai destinasi utama eksport getah asli yang menyumbang 57.4 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada April 2021 diikuti Jerman (8.1 peratus), Amerika Syarikat (3.9 peratus), Turki (2.6 peratus) dan Finland (2.4 peratus).

“Sarung tangan getah merupakan item eksport utama dengan nilai eksport RM6.7 bilion pada April 2021, meningkat sebanyak 4.7 peratus berbanding Mac 2021 (RM6.4 bilion).

“Amerika Syarikat adalah negara pengimport tertinggi sarung tangan getah diikuti Jerman dan United Kingdom,” katanya. - Bernama