Tapir keluar cari makan mati dilanggar

Tapir jantan dewasa yang ditemui mati di tepi jalan, dipercayai dilanggar.
Tapir jantan dewasa yang ditemui mati di tepi jalan, dipercayai dilanggar.
A
A
A

KOTA TINGGI- Seekor tapir jantan yang keluar daripada habitatnya untuk mencari makan ditemui mati, dipercayai dilanggar di Jalan Bukit Aping-Kangkar Papan di sini, pada malam Isnin.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor, Salman Saaban berkata, pihaknya mendapat maklumat mengenai kejadian itu pada jam 10.20 malam, sebelum satu pasukan dari Pejabat Perhilitan Bandar Penawar digerakkan ke lokasi kejadian.

"Hasil siasatan di lapangan mendapati, bangkai seekor tapir jantan dewasa itu dianggarkan seberat 300 kilogram dan ditemui di tepi jalan, dipercayai mati akibat dilanggar oleh sebuah kenderaan.

"Namun tiada penemuan kenderaan yang melanggar tapir tersebut di lokasi kejadian. Pihak jabatan telah mengambil ukuran asas morfologi dan bangkai tapir dibawa ke pejabat Perhilitan Bandar Penawar untuk dilupuskan," katanya.

Jelas Salman, tapir itu dipercayai telah tersasar daripada habitatnya di Hutan Simpan Seluyut dan mencari makan hingga melintasi jalan ke Felda Bukit Waha.

Tambahnya, ini adalah kes ketiga yang melibatkan 'roadkill' di negeri Johor dalam tahun ini.

"Kes pertama berlaku pada 27 Mac lalu melibatkan seekor tapir jantan di Jalan Jemaluang-Mersing di Mersing, manakala kes kedua ialah pada 6 April lalu di Jalan Sedili-Tenggaroh, Kota Tinggi yang juga melibatkan seekor tapir jantan.

"Pihak Perhilitan Johor juga pernah menjalankan operasi menyelamat seekor tapir pada 28 April lalu di Felda Tenggaroh 5 dengan memindahkan seekor tapir betina ke Taman Negara Endau Rompin," ujarnya.

Artikel Berkaitan: