MBI beri penangguhan bayaran tiga bulan

Rumaizi
Rumaizi
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) akan memberi penangguhan selama tiga bulan bagi beberapa jenis bayaran termasuk cukai taksiran susulan lanjutan pelaksanaan Sekatan Pergerakan Penuh.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, penangguhan itu diberikan terhadap bayaran cukai taksiran penggal pertama, bayaran lewat sewaan rumah pangsa, pembaharuan lesen premis, iklan dan komposit perniagaan serta lencana anjing 2021.

Menurut beliau, inisiatif itu akan berkuatkuasa sehingga 31 Ogos depan dan sepanjang tempoh tersebut, tiada sebarang tindakan penguatkuasaan atau denda lewat akan dikenakan.

"Moratorium ini bukan bertujuan pengecualian bayaran, tetapi lebih kepada memahami keperluan rakyat berada di rumah dan terhad terhadap urusan di kaunter MBI secara fizikal untuk sementara.

"Bagaimanapun, MBI masih membuka saluran pembayaran secara online melalui laman sesawang MBI bagi mengelakkan sebarang tunggakan yang besar yang perlu dibayar oleh penyewa atau pembayar cukai," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pelaksanaan penangguhan ini juga sekali gus dapat membantu warga kota serta ekonomi peniaga-peniaga kecil yang terkesan selain merancakkan aktiviti perniagaan semasa di dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh yang sedang dijalankan di seluruh negara.

Pada Mei lalu semasa Mesyuarat Penuh MBI, Rumaizi turut mengumumkan pengecualian satu bulan bayaran sewa kepada peniaga-peniaga di Pasar Besar Ipoh dan peniaga-peniaga medan selera di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu bagi Jun 2021 yang melibatkan lebih 1,000 peniaga dengan anggaran peruntukan RM50,000.

Artikel Berkaitan: