JKPPH dakwa KPM tidak respons pelbagai isu dipersoalkan

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pendidikan Pakatan Harapan (JKPPH) mempersoalkan banyak isu yang ditimbulkan kepada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) tetapi tidak pernah mendapat respons dan jawapan.

Jawatankuasa itu dalam satu kenyataan mendakwa, menteri kanan dan dua timbalannya seakan-akan mengetepikan suara rakyat, guru, ibu bapa, kesatuan guru dan masyarakat amnya.

“JKPPH ingin mengingatkan menteri kanan dan kedua-dua timbalannya bahawa isu-isu pendidikan sewaktu pandemik dan sewaktu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dijalankan jauh daripada selesai.

“Malah, apa yang lebih mencabar lagi ialah pendidikan pasca pandemik Covid-19 yang rakyat perlukan. Kita menanti satu pelan besar dan perancangan jangka masa panjang untuk pendidkan selepas pandemik berakhir,” katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Kenyataan itu dikeluarkan Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik selaku pengerusi jawatankuasa berkenaan, selain beberapa ahli Parlimen iaitu Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Teo Nie Ching (Kulai), Datuk Dr Hasan Bahrom (Tampin), Natrah Ismail (Sekijang), Steven Sim Chee Keong (Bukit Mertajam) dan Rusnah Aluai (Tangga Batu).

Mengulas lanjut, JKPPH menambah, jika dilihat kepada perkongsian negara-negara anggota Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada mesyuarat Menteri-Menteri Pelajaran UNESCO 29 Mac lalu, pelbagai pendekatan luar kotak telah digunakan termasuk negara-negara dunia ketiga.

Dalam pada itu, JKPPH turut menggesa agar KPM berkongsi data murid cicir iaitu murid yang masih lagi tidak boleh membaca dan menulis kerana kehilangan lebih 100 hari persekolahan pada tahun lalu dan ditambah tahun ini.

“KPM perlu menyatakan pelan mereka untuk memperbaiki keadaan dan juga memulihkan murid-murid cicir ini.

Artikel Berkaitan:

“KPM juga perlu telus dengan data keberkesanan PdPR dengan menyatakan peratus kehadiran murid di dalam kelas-kelas PdPR dan juga kehadiran sewaktu sekolah dibuka sementara sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0,” tegasnya.

Menurut mereka, semua ini adalah demi kebaikan bersama dan langkah penambahbaikan PdPR setelah setahun dijalankan amat perlu.

“Kerajaan tidak boleh lagi berlagak dengan sikap lebih mengetahui. Usaha kolaboratif diperlukan untuk memastikan pendidikan yang terbaik dapat diberikan kepada anak-anak.

“JKPPH ingin menekankan bahawa prinsip ‘Pendidikan Berkualiti Untuk Semua’ dan ‘Pendidikan Adalah Tanggungjawab Bersama’ tidak boleh digadaikan,” katanya.

Kata mereka, KPM perlu menjadi pemudah cara untuk menggembleng tenaga semua untuk rakyat bangkit seiring senada bersama membangunkan pendidikan negara.

“Selain dari para guru, ibu bapa yang secara tidak langsung menjadi guru di rumah tatkala PdPR berlangsung memerlukan bimbingan, bahan sokongan dan juga panduan untuk membimbing anak-anak.

“Hal ini juga perlu diberikan perhatian. Di beberapa negara luar seperti yang dilaporkan oleh UNESCO, mereka menyediakan saluran khusus dan program-program penerangan di media untuk membimbing ibu bapa bagi tujuan pendidikan anak-anak,” kata mereka.