Vaksin: Tok Batin perlu jadi role model

Tok Batin perlu bertindak sebagai 'role model' dengan menjadi orang pertama mengambil vaksin Covid-19 di setiap perkampungan bagi meyakinkan masyarakat orang asli menerima vaksin. Gambar kecil: Veerapan
Tok Batin perlu bertindak sebagai 'role model' dengan menjadi orang pertama mengambil vaksin Covid-19 di setiap perkampungan bagi meyakinkan masyarakat orang asli menerima vaksin. Gambar kecil: Veerapan
A
A
A

SEREMBAN - Ketua masyarakat orang asli (Tok Batin) di Negeri Sembilan perlu bertindak sebagai 'role model' dengan menjadi orang pertama mengambil vaksin Covid-19 di setiap perkampungan bagi meyakinkan masyarakat orang asli menerima vaksin.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, selain itu, Tok Batin juga hendaklah memberi penerangan kepada penduduk kampung dengan bantuan anggota kesihatan berkaitan dengan vaksin.

"Setakat ini seramai 32 orang asli telah menerima vaksin.

"Bagaimanapun, menerusi program 'outreach' vaksinasi oleh pasukan bergerak dapat mempertingkatkan lagi bilangan penerima vaksin dalam kalangan orang asli," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

Mengulas lanjut beliau berkata, bilangan masyarakat orang asli yang layak menerima suntikan vaksin adalah seramai 8,167 dan daripada jumlah itu, 857 orang telah bersetuju untuk menerima suntikan.

"Aktiviti promosi sedang giat dijalankan oleh pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan masyarakat setempat bagi meningkatkan bilangan mereka yang bersetuju.

"Malah penglibatan kerajaan Negeri, JAKOA, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kawasan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan sukarelawan juga amat membantu dalam pelaksanaan vaksinasi terhadap masyarakat orang asli," katanya

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, Veerapan berkata, sehingga Isnin terdapat 33 kluster aktif di Negeri Sembilan dengan jumlah keseluruhan adalah 5,345 kes.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kluster yang mempunyai jumlah kes yang tertinggi adalah Kluster Industri Senawang membabitkan 716 kes manakala kluster-kluster lain melibatkan industri (kilang) dan kluster komuniti.

"Selebihnya adalah kes hasil daripada saringan kontak rapat dan saringan bergejala, saringan pekerjaan, saringan pra rawatan dan lain-lain," katanya.

Beliau berkata, 'Mass swab test' akan dilakukan berdasarkan penilaian risiko oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) di kawasan atau golongan yang berisiko tinggi dijangkiti Covid-19 seperti golongan warga emas, kumpulan-kumpulan tertentu, dan semua penghuni yang berada dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan ( PKPD).