X

Kindly register in order to view this article
!

Harimau Malaya perlu elak 'malapetaka' lebih besar

Cheng Hoe (tiga dari kiri) mengendalikan sesi latihan Harimau Malaya di Dubai pada Ahad. FOTO: FB FAM
A
A

"PERLAWANAN menentang Thailand menentukan maruah kita."

Itu peringatan yang disuarakan pengendali Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe kepada barisan pemainnya menjelang aksi terakhir Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai pada tengah malam Rabu ini.

Cheng Hoe berkata, Harimau Malaya seharusnya memenangi perlawanan menentang skuad Gajah Perang itu selepas diaibkan dengan kekalahan besar 0-4 kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum tewas 1-2 berdepan Vietnam baru-baru ini.

Malah, Cheng Hoe juga mahu keputusan positif dapat dilakar anak-anak buahnya untuk memastikan peluang Harimau Malaya lebih terbuka untuk layak ke pentas Piala Asia 2023.

"Setiap pemain sedar dengan dua kekalahan yang dihadapi. Kami juga sudah mengenal pasti kelemahan yang ada dalam pasukan. Saya ada berbincang dengan pasukan dan kita juga ada bedah siasat menjelang perlawanan dengan Thailand.

"Dalam masa sama, saya sedar perlawanan menentang Thailand ini akan menentukan maruah kami dalam kempen kelayakan kali ini. Sebab itulah saya nak pemain-pemain memberikan satu keputusan positif untuk pasukan dan peminat di seluruh negara.

"Saya juga tahu ramai yang kecewa dengan keputusan dua perlawanan sebelum ini, Jadi kami perlu bangkit daripada kekalahan dan mendapatkan satu keputusan terbaik dalam perlawanan menentang Thailand," katanya dalam sidang media secara maya di Dubai pada Isnin.

Atas kertas, Harimau Malaya tidak mempunyai pilihan lain selain meraih kemenangan untuk berada di kedudukan ketiga peringkat kumpulan, sekali gus mengesahkan tempat ke Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023.

Namun, sekiranya gagal menang ke atas Thailand, Harimau Malaya terpaksa berharap menjadi antara empat pasukan terbaik di kedudukan keempat daripada lapan kumpulan kempen kelayakan tersebut untuk layak beraksi dalam pusingan playoff.

"Saya akui kekuatan kami sebelum ini pada tahun 2019 (sebelum kempen kelayakan ditangguh akibat Covid-19), kami mempunyai kelebihan boleh menyerang sebagai pasukan dan juga bertahan sebagai pasukan. Elemen itu yang kita tidak ada dalam dua perlawanan terakhir ini.

"Namun, sekarang kami telah memperbaiki (kelemahan yang ada) dan nampak ada peningkatan. Jadi saya percaya dengan kebolehan setiap pemain untuk meraih keputusan positif.

"Kami juga mempunyai dua pemain yang sedang beraksi dan pernah beraksi di Liga Thailand (Dominic Tan dan Norshahrul Idlan Talaha) dan mendapat sedikit sebanyak gambaran mengenai pasukan lawan.

"Apa yang penting, saya mahu para pemain all out untuk meraih keputusan positif berdepan Thailand nanti seterusya memberikan kegembiraan kepada penyokong bola sepak negara," ujarnya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!