Banyak lagi perlu dilakukan G7 untuk bantu dunia: Pakar

Pemimpin negara maju dunia menamatkan persidangan tiga hari G7 di Cornwall, United Kingdom pada Ahad dengan rancangan besar mahu mengakhiri pandemik global menangani perubahan iklim dan mengimbangi kemaraan kuasa China. - Foto 123RF
Pemimpin negara maju dunia menamatkan persidangan tiga hari G7 di Cornwall, United Kingdom pada Ahad dengan rancangan besar mahu mengakhiri pandemik global menangani perubahan iklim dan mengimbangi kemaraan kuasa China. - Foto 123RF
A
A
A

KUALA LUMPUR - Resolusi sidang kemuncak G7 hujung minggu lalu terutama berkaitan perubahan iklim, hak asasi manusia, pembangunan ekonomi dan membantu negara membangun memerangi pandemik global Covid-19 amat dialu-alukan.

Namun, sarjana dan ahli ekonomi Malaysia menyatakan selain terdapat lompong mengenai bagaimana resolusi itu akan dilaksana dan tiada penetapan had masa, sidang kemuncak itu dilihat kurang kesungguhan selain mengabaikan isu mendesak lain yang turut memerlukan perhatian.

“Isu membabitkan hak asasi manusia, hukuman berasaskan adat dan lainya adalah sama penting baik di dunia maju serta negara membangun selain isu Islamophobia yang berlaku dalam pelbagai bentuk, masih belum selesai.

“Isu perkauman anti kulit putih semakin parah dalam semua lapangan termasuk dalam sukan, manakala pembersihan etnik Red Indian di utara dan selatan benua Amerika tidak dihiraukan manakala pemusnahan hutan Amazon diketepikan oleh G7.

“Pencabulan hak asasi di semua negara membangun adalah lebih besar andai ia dihimpunkan berbanding tuduhan situasi buruk di China,” kata Pengarah Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin kepada Bernama.

Pemimpin negara maju dunia menamatkan persidangan tiga hari G7 di Cornwall, United Kingdom pada Ahad dengan rancangan besar mahu mengakhiri pandemik global menangani perubahan iklim dan mengimbangi kemaraan kuasa China.

Anggota G7 bersetuju untuk meningkatkan usaha menangani perubahan iklim dan memperbaharu ikrar mengumpulkan AS$100 bilion setahun untuk membantu negara miskin mengurangkan pelepasan gas dan negara membangun menamatkan penggunaan arang batu.

Bagi membantu mengakhiri pandemik Covid-19, G7 berikrar menyumbang satu bilion dos vaksin Covid-19 kepada negara termiskin.

Artikel Berkaitan:

Mereka juga bersetuju melaksanakan program baharu G7 iaitu Bina Kembali Dunia Lebih Baik yang menyaksikan negara kaya menyediakan pembiayaan berkualiti tinggi untuk infrastruktur penting di rantau Afrika dan Asia, langkah yang dilihat mahu menyaingi Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) China.

G7 dianggotai tujuh negara kuasa besar dunia iaitu United Kingdom, Amerika Syarikat, Kanada, Jepun, Jerman, Perancis dan Itali.

Mengulas lanjut, Dr Shamsul Amri menyatakan, ikrar AS$100 bilion setahun untuk membantu negara miskin mengurangkan pelepasan gas akan memakan masa sekitar dua hingga tiga tahun untuk sampai kepada golongan sasar di negara terbabit.

“Hakikatnya, banyak lagi masalah besar termasuk isu kebuluran di seluruh dunia. Ia umpama mengumpan beberapa batang lobak kepada berjuta-juta arnab,” katanya.

Sementara itu, ahli ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam menyifatkan ikrar G7 untuk menyumbang dana AS$100 bilion setahun itu adalah satu tindakan bersejarah, tepat pada masa dan menjadi suatu keputusan penting.

Namun katanya, pemimpin G7 gagal menetapkan jangka waktu bagi menentukan bila ikrar itu dapat dipenuhi dan ia mencerminkan kurangnya kesungguhan dan azam politik yang lemah.

Mengenai janji G7 untuk membiayai projek infrastruktur hijau antarabangsa untuk negara-negara membangun dalam usaha mengekang pengaruh China yang semakin meningkat di seluruh dunia, Ramon menyatakan itu hanyalah cita-cita dan impian kosong untuk menandingi BRI China.

"Tetapi jika G7 benar-benar berjaya maka ia pasti disambut baik," katanya, sambil menambah adalah suatu yang dialu-alukan andai lebih banyak negara kaya bersaing bagi membantu negara miskin. - Bernama