Penyokong setuju cadangan penonton ke stadium ambil vaksin

Beberapa wakil penyokong pasukan Liga-M bersetuju dengan cadangan MFL mewajibkan pengambilan vaksin sebagai syarat membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium. - Gambar fail bernama
Beberapa wakil penyokong pasukan Liga-M bersetuju dengan cadangan MFL mewajibkan pengambilan vaksin sebagai syarat membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium. - Gambar fail bernama
A
A
A

CADANGAN mewajibkan pengambilan vaksin sebagai antara syarat utama membenarkan penyokong masuk ke dalam stadium dijangka mampu meningkatkan kesediaan orang ramai untuk mengambil vaksin Covid-19.

Beberapa wakil penyokong pasukan Liga Malaysia (Liga-M) bersetuju dengan cadangan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) itu sebelum ini yang diyakini mampu mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan penonton di stadium.

Presiden Anak Selangor Fan Club (Selangor FC), Mohd Faizal Wahid berkata, sudah sampai masanya Liga-M mengikuti majoriti penganjuran kejohanan serta liga bola sepak luar negara yang telah mula mewajibkan pengambilan vaksin kepada penyokong yang ingin menyaksikan perlawanan pasukan masing-masing.

“Bagi saya ini jalan terbaik bagi memudahkan lagi kemasukan penyokong ke stadium, kita lihat di luar negara pun, penonton sudah boleh masuk ke stadium dengan jumlah yang lebih ramai ekoran sudah mengambil vaksin.

"Malah, saya jangkakan sesetengah penyokong yang selama ini macam bimbang atau malas hendak ambik vaksin, mungkin akan mengubah keputusan mereka jika langkah ini diwajibkan,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan MFL pada Isnin.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan dalam satu laporan media menyatakan pihaknya bersedia berbincang dengan kerajaan bagi membenarkan kemasukan semula penyokong ke stadium termasuk bersikap terbuka membenarkan penyokong yang telah divaksin sahaja masuk ke stadium pada aksi Liga-M.

Sementara itu, wakil penyokong TokGajah.com (Sri Pahang FC), Mohamad Fauzi Abdul Manaf mengakui cadangan berkenaan sememangnya pilihan terbaik buat semua dalam masa sekarang namun mengharapkan peraturan itu dapat dikuatkuasakan selepas program imunisasi negara sudah mencapai angka imuniti kelompok yang memuaskan.

“Saya juga mencadangkan jika ada penonton yang belum mengambil vaksin tetapi mahu hadir ke stadium mungkin boleh dikenakan syarat membuat (ujian saringan) RTK-Antigen, ini sebagai satu pilihan kepada penyokong, ” katanya.

Artikel Berkaitan:

Wakil penyokong Ultras Penang (Penang FC), Zamzuri Ibrahim pula melihat langkah MFL itu bersesuaian dengan situasi terkini selain dapat membuktikan kepada pihak luar yang Liga-M turut serius dalam menangani penularan pandemik Covid-19.

Setelah berehat hampir dua bulan, saingan Liga-M bakal kembali bersambung bulan depan dengan Liga Premier bermula pada 3 Julai manakala Liga Super pula pada 24 Julai. - Bernama