X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 06 Disember 2021

Aksi menentang Thailand penentu maruah Harimau Malaya

Skuad Harimau Malaya giat menjalani latihan di Dubai, UAE, sebagai persediaan menjelang aksi terakhir Kumpulan G menentang Thailand, awal pagi Rabu. - Foto FB FAM
A
A

BIARPUN mempunyai rekod bersih ketika skuad bimbingannya menentang Thailand, ketua jurulatih kebangsaan Tan Cheng Hoe tetap mahu memastikan kemenangan menjadi milik Harimau Malaya.

Cheng Hoe berkata, aksi terakhir Kumpulan G pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 adalah penentu kepada maruah pasukan negara selepas kecewa dalam dua perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum ini.

Malah beliau percaya kemenangan ke atas Thailand pada perlawanan awal pagi Rabu ini sekurang-kurangnya dapat menceriakan peminat bola sepak tempatan yang kecewa dengan dua kekalahan berturut-turut pasukan Harimau Malaya.

“Saya rasa semua pemain sedar punca dan kelemahan dalam kekalahan kita dan selepas melakukan post mortem kita tahu perlawanan esok (Rabu) menentukan kita punya maruah dalam kempen kali ini, jadi sebab itu pemain perlu memberikan sesuatu keputusan yang positif untuk pasukan dan peminat.

“Kita tahu ramai agak kecewa dengan keputusan itu (dua kekalahan), sebab itu kita perlu bangkit daripada kekalahan dan berusaha dapatkan satu keputusan yang baik esok,” katanya pada sidang media secara dalam talian selepas sesi latihan skuad kebangsaan di Dubai pada Isnin.

Malaysia akan berdepan Thailand di Stadium Al Maktoum, Dubai dalam perlawanan terakhir peringkat Kumpulan G pada 12.45 pagi Rabu waktu Malaysia.

Untuk rekod, Cheng Hoe masih belum pernah tewas kepada Thailand sejak mengambil alih tugas membimbing skuad kebangsaan pada Disember 2017 dengan satu kemenangan dan dua keputusan seri sementara menurut rekod 10 pertemuan terakhir sejak Disember 2010, Malaysia hanya memenangi dua perlawanan dan masing-masing tewas dan seri sebanyak empat kali.

Dalam pada itu, jurulatih yang baharu sahaja kehilangan bapanya pada Jumaat lepas itu, menuntut setiap pemain kekal fokus sepanjang aksi menentang pasukan Gajah Perang agar tidak terlepas peluang terhidang di depan pintu gol lawan.

“Reaksi dalam perlawanan cukup penting untuk kita jaringkan gol dan dibolosi gol, sebab itu kita perlu lebih fokus dan memberikan tumpuan 100 peratus bermula seawal minit pertama permainan sehingga wisel penamat ditiupkan,” katanya.

Sementara itu, beliau mengakui pemain muda negara Arif Aiman Mohd Hanapi, 18, kemungkinan besar akan diturunkan pada aksi menentang Thailand bagi mengisi kekosongan ditinggalkan pemain naturalisasi Mohamadou Sumareh yang digantung perlawanan.

“Tetapi kita tidak boleh terus memberi harapan yang cukup tinggi kerana masih lagi awal untuk membuat penilaian mengenai Arif Aiman, namun dia ada potensi yang besar pada masa hadapan dan kita harap pemain lain juga bersedia untuk diturunkan dalam kesebelasan utama berdepan Thailand,” katanya.

Pada masa sama, jurulatih berusia 53 tahun itu mengakui perkongsian maklumat oleh dua pemain pertahanan Dominic Tan dan Junior Eldstal serta penyerang Norshahrul Idlan Talaha yang berpengalaman beraksi di Liga Thailand turut membantu pasukan berdepan cabaran Thailand.

Malaysia dan Thailand mempunyai misi ‘hidup mati’ bagi merebut kedudukan ketiga kumpulan G untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 selepas kedua-dua pasukan berkongsi sembilan mata di tempat ketiga dan keempat dengan perbezaan jumlah jaringan.

Selepas tujuh perlawanan, Vietnam mendahului dengan 17 mata, diikuti UAE (15 mata), Thailand ketiga, Malaysia keempat dan Indonesia tercorot dengan mengutip satu mata. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!