Projek KVDT2: Dhaya Maju LTAT tarik balik saman

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dhaya Maju LTAT Sdn Bhd ( Dhaya Maju LTAT) pada Isnin menarik balik samannya terhadap kerajaan dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berhubung kontrak bagi projek menaik taraf kemudahan infrastruktur Landasan Berkembar Elektrik Lembah Klang Fasa 2 (KVDT2).

Peguam Khoo Guan Huat yang mewakili Dhaya Maju LTAT ketika dihubungi berkata, pihaknya menarik balik saman itu berikutan anak guamnya juga telah memfailkan saman berhubung isu sama yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Lim Chong Fong.

Sementara itu, Peguam Kanan Persekutuan, Asliza Ali ketika dihubungi pemberita selepas prosiding pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aliza Sulaiman yang berkata, mahkamah membenarkan saman itu ditarik balik tanpa kebebasan untuk plaintif (Dhaya Maju) memfailkan semula saman baharu.

“... dan tiada perintah mengenai kos," kata Asliza yang mewakili kerajaan dan Wee selaku defendan.

Prosiding pada Isnin turut disertai peguam Laarnia Rajandran mewakili Dhaya Maju LTAT.

Pada 7 September tahun lepas, Dhaya Maju LTAT menfailkan saman terhadap kerajaan dan Ka Siong, antara lain memohon bagi mendapatkan satu deklarasi bahawa terdapat kontrak yang sah dan mengikat antara syarikat itu dengan kerajaan, menerusi satu surat penerimaan bertarikh 19 Ogos 2019.

Syarikat itu turut memohon satu deklarasi bahawa sebarang pembatalan atau pemberhentian kontrak oleh defendan akan menjadi tidak sah, melanggar undang-undang, dan salah; selain satu injunksi terhadap kedua-dua defendan bagi menghalang dan menyekat mereka daripada mengambil tindakan atau mengambil langkah yang berkaitan dengan sebarang pembatalan kontrak.

Projek tersebut mendapat perhatian ramai selepas Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengeluarkan senarai 101 projek diberikan secara rundingan terus yang bernilai RM6.61 bilion semasa pentadbiran Pakatan Harapan (PH) termasuk projek KVDT2 yang diberi kepada Dhaya Maju LTAT bernilai RM4.475 bilion.

Artikel Berkaitan:

Pada 28 Ogos tahun lepas, Ka Siong dalam satu kenyataan berkata, kementeriannya akan membuka semula tender bagi projek KVDT selepas mengambil kira keputusan kajian menyeluruh dan siasatan yang mendapati kos projek yang dimaksudkan di bawah Dhaya Maju LTAT terlalu mahal semasa di bawah pentadbiran PH.

Pada 27 Oktober tahun lepas, Dhaya Maju LTAT memfailkan satu lagi saman terhadap kerajaan, Ka Siong, Keretapi Tanah Melayu Berhad dan Opus Consultants (M) Sdn Bhd berhubung penamatan kontrak syarikat itu dalam projek KVDT2.

Syarikat itu juga memfailkan semakan kehakiman pada September 2020, memohon pengisytiharan bahawa keputusan kerajaan dan Menteri Pengangkutan yang dinamakan sebagai responden untuk membatalkan projek KVDT2, yang dianugerahkan pada 19 Ogos 2019 dan seterusnya membuka semula tender bagi projek itu adalah tidak sah dan batal.

Pada 14 April lepas, Dhaya Maju LTAT memperoleh kebenaran daripada mahkamah untuk meneruskan semakan kehakiman itu. - Bernama