X

Kindly register in order to view this article
!

Majikan perlu tanggung kos sediakan PPV, dilarang caj pekerja

Lebih 500,000 pekerja dalam sektor peruncitan akan menerima manfaat pelaksanaan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi-Sektor Peruncitan. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Majikan perlu menanggung sepenuhnya kos vaksinasi untuk pekerja di sektor ekonomi kritikal dalam Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi-Sektor Peruncitan yang dijangka bermula bulan ini, menurut syarikat ProtectHealth Corporation Sdn Bhd (ProtectHealth).

ProtectHealth iaitu syarikat yang dilantik Kementerian Kesihatan (KKM) sebagai pelaksana penglibatan pengamal perubatan swasta dalam Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan berkata, walaupun pekerja menerima vaksin yang dibeli kerajaan, namun majikan perlu menampung kos penyediaan pusat pemberian vaksin (PPV) industri dan bayaran kepada pengamal perubatan swasta yang terlibat.

“Selain itu, majikan tidak dibenarkan mengenakan sebarang caj kepada pekerja mereka dan majikan bertanggungjawab penuh kepada pelaksanaan PPV yang baik.

“Justeru, ProtectHealth ingin menafikan kenyataan yang dikeluarkan Persatuan Pengurusan Kompleks Malaysia (PPK) dan dipetik oleh beberapa akhbar bahawa syarikat ini menetapkan bayaran RM50 bagi vaksinasi,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Baru-baru ini, PPK mencadangkan agar pekerja membayar caj RM50 untuk mendapatkan vaksin Covid-19 di lokasi selepas pusat beli-belah bersetuju untuk memberi subsidi.

Persatuan itu menjelaskan pusat beli-belah akan memberi sebahagian besar subsidi kos vaksinasi dan membenarkan pekerja membayar RM20 seorang (RM10 satu dos) manakala ProtectHealth akan mengenakan caj tambahan sebanyak RM30 bagi seorang pekerja (RM15 bagi pemberian setiap dos) menjadikan jumlah caj yang dikenakan sebanyak RM50 untuk seorang pekerja.

Kenyataan PPK itu susulan pengumuman Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berhubung lebih 500,000 pekerja dalam sektor peruncitan akan menerima manfaat pelaksanaan Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi-Sektor Peruncitan.

Tegas ProtectHealth, kos tambahan pengoperasian PPV atau nominal commitment fee yang dinyatakan oleh PPK sebelum ini adalah penetapan persatuan sendiri, malah tidak ditentukan dan bukan dibayar kepada syarikat itu.

Katanya, semua kementerian yang terlibat akan bertanggungjawab memastikan caj yang dikenakan adalah pada kadar minimum dan bukan bermaksud mengaut keuntungan dan tidak membebankan pihak industri yang terlibat dalam program itu.

“Selepas majikan mendapat kelulusan Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF), ProtectHealth akan menguruskan pengendalian dan suntikan vaksin dengan kos RM15 bagi setiap suntikan dos menerusi penglibatan pengamal perubatan swasta.

“Penyertaan sektor atau syarikat (dalam Program Vaksinasi Barisan Hadapan Ekonomi-Sektor Peruncitan) juga adalah bersifat pilihan dan bukan mandatori,” katanya.

Justeru, majikan serta pekerja yang tidak menyertai pemberian vaksinasi kepada sektor ekonomi kritikal ini masih akan menerima vaksin Covid-19 secara percuma di bawah fasa arus perdana Program Vaksinasi Covid-19 Kebangsaan apabila tiba giliran mereka. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!