X

Kindly register in order to view this article
!

Tengku Razaleigh adakan sidang akhbar esok

Tengku Razaleigh
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah dijangka mengadakan satu sidang akhbar di kediamannya di Jalan Langgak Golf Kuala Lumpur, pada jam 3 petang esok.

Bagaimanapun fokus utama sidang akhbar itu tidak dinyatakan dalam butiran jemputan media yang diedarkan hari ini.

Kali terakhir veteran UMNO itu mengeluarkan kenyataan berhubung situasi semasa politik negara adalah pada 24 Februari lalu dengan menyatakan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mempunyai kuasa untuk memanggil sidang Parlimen tanpa nasihat daripada Perdana Menteri.

Pada Rabu lepas, nama beliau yang juga dikenali sebagai Ku Li menjadi trending di Twitter apabila bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mohd Zaid Ibrahim mencadangkan beliau dilantik sebagai Perdana Menteri Interim.

ARTIKEL BERKAITAN: Nama Ku Li trending selepas dicadangkan jadi PM Interim

Nama Ku Li disebut susulan ketua-ketua parti politik dipanggil menghadap Yang di-Pertuan Agong secara berasingan bagi membincangkan isu semasa termasuk situasi pandemik Covid-19.

Menurut Mohd Zaid, walaupun perbincangan Yang di-Pertuan Agong itu tertumpu kepada proklamasi darurat, namun negara memerlukan seorang Perdana Menteri Interim bagi menerajui negara buat sementara waktu.

Sementara itu, bekas Perdana Menteri yang juga Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Tun Dr Mahathir Mohamad mencadangkan penubuhan Majlis Pemulihan Negara (MPN) bagi menggantikan Majlis Gerakan Nasional (Mageran) ketika menghadap Yang di-Pertuan Agong.

Bagaimanapun, Pakatan Harapan (PH) dan UMNO senada menolak cadangan tersebut sebaliknya bertegas supaya darurat ditamatkan serta Parlimen dibuka semula.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!