UMNO Terengganu nafi lancar tabung kumpul dana bantu ahli terjejas

Nik Dir (kanan) bersama barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan terjejas yang tercicir daripada menerima bantuan Covid-19.
Nik Dir (kanan) bersama barangan keperluan untuk diagihkan kepada golongan terjejas yang tercicir daripada menerima bantuan Covid-19.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - UMNO Terengganu menafikan dakwaan tular di media sosial bahawa parti itu melancarkan tabung untuk mengumpul dana RM500,000 bagi membantu ahli-ahlinya yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Ketua Penerangannya, Datuk Nik Dir Nik Wan Ku berkata, dakwaan tersebut tidak benar, malah tiada sebarang tabung dilancarkan khusus untuk ahli-ahli UMNO di negeri ini.

"Kerajaan negeri dan Persekutuan telah mengeluarkan bantuan kepada mereka yang terkesan akibat Covid-19 melalui saluran pentadbiran kerajaan di bawah agensi masing-masing.

"Mana-mana yang terkesan boleh menghubungi agensi berkenaan bagi mendapatkan bantuan," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, UMNO Terengganu menyumbangkan sebanyak 15,000 bakul makanan kepada mana-mana rakyat negeri ini yang tercicir dan tidak menerima bantuan Covid-19.

Menurutnya, langkah itu bagi memastikan kebajikan golongan terjejas akibat PKP tidak terabai.

"Kita berusaha menyediakan bakul makanan khusus kepada mereka yang tercicir daripada bantuan pandemik, walaupun wakil rakyat Barisan Nasional (BN) tidak menerima saluran peruntukan khas Covid-19 daripada kerajaan negeri.

"Bakul makanan itu diserahkan kepada Ketua UMNO cawangan masing-masing untuk diagihkan kepada golongan sasar," katanya.

Artikel Berkaitan: