X

Kindly register in order to view this article
!

Bantuan bulanan kepada pengayuh beca, pengusaha bot penambang

Kerajaan Terengganu mengumumkan bantuan bulanan kepada pengayuh beca dan pengusaha bot penambang yang terjejas pendapatan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
 - Foto Bernama
A
A

KUALA TERENGGANU - Kerajaan negeri Terengganu hari ini mengumumkan bantuan bulanan sebanyak RM200 sebulan kepada 75 orang pengayuh beca dan pengusaha bot penambang di negeri ini yang masih beroperasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman berkata, bantuan tersebut melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM180,000 setahun atau RM15,000 sebulan yang akan diberikan kepada 57 pengayuh beca dan 18 pengusaha bot penambang mulai Julai ini.

“Memang pada asalnya mereka ada menerima bantuan bulanan namun sekitar dua atau tiga tahun lepas bantuan tersebut dihentikan dengan andaian bahawa mereka termasuk dalam kategori miskin dan menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atau Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam).

“Setelah kita teliti khususnya dengan JKM, rupanya ramai dalam kalangan mereka yang tidak berdaftar (dengan JKM) jadi kami mengambil keputusan untuk meneruskan semula bantuan bulanan ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan barangan keperluan asas kepada pengayuh beca dan pengusaha bot penambang di perkarangan Pasar Payang, di sini pada Isnin.

Selain meringankan beban para penerima dalam menghadapi situasi penularan pandemik Covid-19 ketika ini, Ariffin berkata, bantuan bulanan itu juga bagi memastikan golongan tersebut terus kekal menjadi duta kecil pelancongan negeri memandangkan beca dan bot penambang merupakan pengangkutan tradisi yang sinonim dengan Terengganu.

Sementara itu, pengusaha bot penambang, Armizi Ahmad, 40, berkata, bantuan tersebut dapat digunakan untuk membaiki dan menyelenggara bot penambang miliknya yang telah diusahakan sejak 16 tahun yang lepas.

“Walaupun tiada pelancong dan pendapatan kami terjejas teruk tetapi bot perlu juga diselenggara dan dibaiki. Jadi bantuan ini sangatlah membantu menampung perbelanjaan kami,” katanya.

Armizi berkata, berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan larangan rentas negeri, beliau hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM20 sehari, berbanding RM60 hingga RM70 sehari sebelum ini manakala pelanggannya hanyalah penduduk sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Seorang lagi pengayuh beca, Pohot Salleh, 66, menzahirkan rasa syukur kerana permintaan mereka supaya kerajaan negeri meneruskan semula bantuan bulanan telah ditunaikan lebih-lebih lagi ketika PKP yang memberi kesan teruk kepada pendapatan mereka.

“Kami masih setia menunggu di sini (Pasar Payang) kerana mengayuh beca merupakan sumber rezeki kami sejak berpuluh-puluh tahun yang lepas. Lagipun beca merupakan tradisi yang sinonim dengan Terengganu, kami tidak mahu tradisi ini berakhir walau apa pun keadaannya,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!