100,086 warga asing dijangkiti Covid-19 dalam kluster tempat kerja

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 100,086 kes positif Covid-19 membabitkan warga asing direkodkan dalam kategori kluster tempat kerja.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah itu meliputi 68 peratus berbanding rakyat tempatan dalam kategori sama.

"Sebanyak 46,954 kes positif iaitu 32 peratus merupakan rakyat tempatan membabitkan kluster tempat kerja," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, sektor perkilangan melaporkan jumlah kes tertinggi dalam kategori kluster tempat kerja iaitu sebanyak 95,156 kes membabitkan sebanyak 639 kluster.

"Terdapat lima kluster tempat kerja tertinggi yang masih aktif iaitu Kluster Jualan Tiga Salak Tinggi, Kluster Industri Sendayan, Kluster Industri Batu Berendam, Kluster Jalan Padang Tembak dan Kluster Tok Has," ujar beliau.

Setakat ini, katanya, sebanyak 1,328 kluster tempat kerja telah dilaporkan di seluruh negara.

"Sebanyak 624,246 individu telah disaring dalam kluster tersebut dengan 147,040 kes dikesan positif Covid-19 pada kadar positiviti sebanyak 23.6 peratus," katanya.

Tambah Dr Noor Hisham, walaupun trend kes mingguan menunjukkan penurunan dalam dua minggu ini, namun kluster tempat kerja terus menyumbang kepada pertambahan kes.

Artikel Berkaitan:

Beliau sehubungan itu berkata, tahap kesedaran berkenaan kepentingan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) di tempat kerja perlu dipertingkatkan.

"Terdapat segelintir masyarakat yang hanya mengambil berat berkenaan pematuhan SOP apabila terdapat penguatkuasaan undang-undang dilaksanakan. Kelekaan inilah yang banyak mengundang kepada peningkatan kes Covid-19 terutama di tempat kerja," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, terdapat 17 kluster baharu dilaporkan dengan 12 daripadanya merupakan kluster tempat kerja.

"Ada tiga kluster komuniti dan satu kluster kumpulan berisiko tinggi turut dilaporkan," katanya.

Beliau berkata, jumlah keseluruhan kluster yang dikenal pasti ialah sebanyak 2,494 kluster.

Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 1,270 kluster telah diisytiharkan tamat, sementara 774 lagi masih aktif.