X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan didesak tambah bekalan vaksin di Negeri Sembilan

Veerapan
A
A

SEREMBAN - Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan mendesak kerajaan Persekutuan agar menambah bekalan vaksin untuk Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Badan Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF) Negeri Sembilan telah pun menghantar surat kepada Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar dan juga pembekal vaksin di Malaysia berhubung perkara itu.

"Namun, sehingga kini kita masih belum menerima apa-apa maklum balas dan ia sangat mengecewakan.

"Kerajaan pusat perlu jawab isu ini dengan segera kerana sebelum ini kita diberitahu yang negeri boleh terus membeli vaksin dengan syarat vaksin itu perlu mendapat kelulusan daripada kerajaan pusat," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Menurutnya, kerajaan Persekutuan juga perlu meluluskan lebih banyak jenis vaksin yang akan diberi kepada rakyat di negara ini jika ingin mencapai sasaran 80 peratus imuniti.

Ujarnya, Negeri Sembilan ketika ini hanya mampu memberi vaksin kepada 14,000 orang setiap hari dan bersedia menambah Pusat Pemberian Vaksin (PPV) pada bila-bila masa.

“Kita ada Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang banyak di Negeri Sembilan dan sebanyak 59 PPV akan beroperasi selewat-lewatnya hujung Jun ini.

"Kerajaan negeri juga akan membuka sebuah mega PPV dan lokasi yang dicadangkan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM). Jadi kita mahukan segera vaksin tambahan untuk Negeri Sembilan," katanya.

Tambah Veerapan, Negeri Sembilan juga memiliki pegawai kerajaan dalam fasiliti kesihatan sedia ada untuk mengendalikan program vaksinasi setiap hari termasuk pada hari Sabtu dan Ahad.

Sementara itu, beliau berharap semua pemimpin termasuk pembangkang untuk sama-sama memainkan peranan membantu masyarakat membuat pendaftaran vaksin.

“Sekiranya ada warga emas tak dapat datang ke PPV kerana masalah pengangkutan, aturkan pengangkutan untuk mereka,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!