Tujuh lokaliti di Johor, Sabah, Sarawak dikenakan PKPD

Beberapa lokaliti di Sarawak dan Johor dikenakan PKPD mulai 16 Jun hingga 29 Jun.
Beberapa lokaliti di Sarawak dan Johor dikenakan PKPD mulai 16 Jun hingga 29 Jun.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Tujuh lokaliti di tiga negeri iaitu Johor, Sabah dan Sarawak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula 16 sehingga 29 Jun ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD di Johor membabitkan asrama pekerja warga asing di Jalan Rivera, Tangkak.

“Seramai 128 individu telah disahkan positif Covid-19 di situ selepas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan ujian saringan ke atas 237 penghuni dengan kadar kebolehjangkitan adalah tinggi di lokaliti tersebut.

“Pelaksanaan PKPD ini untuk menyekat pergerakan dan penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti berkenaan,” katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Ismail berkata, di Sarawak pula, PKPD membabitkan dua lokaliti iaitu Rumah Panjang Alat anak Mukan dan Mukah Palm Oil Mill di Bukit Dinding, Mukah.

“Sehingga kini, sebanyak 31 kes positif telah dilaporkan hasil daripada 70 ujian saringan di Rumah Panjang Alat anak Mukan. Di Mukah Palm Oil Mill pula sebanyak 14 individu disaring dan 10 daripadanya direkodkan positif Covid-19.

“Setelah membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju melaksanakan PKPD di dua lokaliti seperti dinyatakan berkuat kuasa 16 Jun sehingga 29 Jun 2021,” ujarnya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, di Sabah pula, PKPD membabitkan satu lokaliti di Kampung Sundang Laut, Sandakan; dua lokaliti di Penampang serta satu lokaliti di Kampung Skim Cocos, Kunak.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan PKPD ini bagi memastikan penduduk yang berisiko kekal berada dalam kawasan PKPD dan menyekat pergerakan serta penularan jangkitan Covid-19 dari kawasan berisiko keluar dari lokaliti tersebut,” jelas beliau.

Mengenai kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP), Ismail Sabri berkata, seramai 958 individu ditahan pada Sabtu dengan 910 daripada mereka dikompaun, manakala 47 direman dan seorang lagi dijamin.

“Sebanyak 233 kesalahan bagi tiada penjarakan fizikal, rentas negeri atau daerah; selain tanpa kebenaran makan di premis sebanyak 135 kes serta tidak memakai pelitup muka (135 kes).

“Kesalahan lain ialah gagal merekod butiran diri atau daftar masuk premis (112 kes), tidak patuh arahan kawalan pergerakan (105 kes), membawa penumpang berlebihan (63 kes) dan aktiviti pusat hiburan (38 kes) serta premis gagal mematuhi arahan (lapan kes),” katanya.