Gadai jam Rado curi, dua lelaki dipenjara

Abd Malik (dua dari kiri) dan Mohd Yusri dikawal ketat dari lokap menuju ke Mahkamah Majistret bagi berdepan lima pertuduhan terhadap mereka.
Abd Malik (dua dari kiri) dan Mohd Yusri dikawal ketat dari lokap menuju ke Mahkamah Majistret bagi berdepan lima pertuduhan terhadap mereka.
A
A
A

KOTA BHARU - Dua geng samun Gold Car termasuk lelaki yang dipercayai menjadi dalang kes itu dihukum penjara empat tahun oleh Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.

Kedua-dua mereka menghadapi lima pertuduhan termasuk menghapuskan harta curi dengan menggadaikan jam tangan Rado Diamaster bernilai RM13,000.

Majistret Kamarul Hasyime Rosli menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, seorang pendawai elektrik, Abd Malik Ismail, 37, dan peniaga air, Mohd Yusri Che Ahmad, 35, selepas mereka mengaku salah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama, mereka bersama-sama menghapuskan harta dengan menggadaikan jam berjenama milik seorang lelaki berusia 26 tahun di alamat Simpang Tiga, Pengkalan Chepa, di sini, antara 1 Mac lalu sehingga 31 Mac lalu.

Pada pertuduhan pilihan kedua, mereka didakwa menghapuskan dengan menjual jam jenama G-Shock bernilai RM4,000 kepada tukang emas di Jalan Wakaf Stan di sini pada tempoh sama.

Atas kesalahan itu, mereka dihukum penjara dua tahun dari tarikh sabitan bagi setiap kesalahan itu.

Pada pertuduhan pilihan ketiga pula, mereka dihukum penjara 10 bulan kerana menghapuskan harta curi dengan menjual seunit dron, alat kawalan jauh berjenama dan bateri bernilai RM4,000 di Kampung Keling Limbat di sini pada tarikh sama.

Mohd Yusri yang juga seorang duda turut dikenakan hukuman penjara setahun enam bulan kerana kesalahan menghapuskan harta curi seutas jam tangan Tissot di sebuah kedai emas di Jalan Wakaf Stan antara 1 Februari lalu sehingga 28 Februari lalu.

Artikel Berkaitan:

Bagi empat tuduhan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 414 Kanun dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi tuduhan pilihan kelima, mereka dihukum penjara sembilan bulan kerana menyimpan harta curi iaitu sebuah kereta jenis Perodua Axia di belakang sebuah rumah tanpa nombor di Masjid Kampung Jelor, Pasir Puteh pada jam 6 petang 5 Mei lalu.

Untuk itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara minimum enam bulan sehingga lima tahun dan denda bagi kesalahan kenderaan bermotor.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Siti Edabayu Subhan manakala tertuduh diwakili peguambela dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Nik Nazriani Nik Ab Rahman dan Alini Kamil

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seorang lelaki dikenali sebagai Malik menjadi dalang kumpulan rompakan dan pecah rumah dikenali sebagai Gold Car.

Mereka menyasarkan emas dan melarikan kereta mangsa dengan menggunakan kunci yang ditemui di dalam rumah ketika memecah masuk kediaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang Malik Gold Car tumpas