10 sindiket ah long masuk jerat polis

Arjunaidi (kanan) melihat pelbagai barang rampasan susulan tumpasnya 10 sindiket ah long dalam serbuan di sekitar Selangor, baru-baru ini.
Arjunaidi (kanan) melihat pelbagai barang rampasan susulan tumpasnya 10 sindiket ah long dalam serbuan di sekitar Selangor, baru-baru ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Kegiatan haram 10 sindiket pinjaman wang tanpa lesen (ah long) yang 'menekan' golongan individu terdesak wang berjaya ditumpaskan dengan penahanan 38 ahlinya dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Penahanan kesemua suspek berusia lingkungan 21 hingga 61 tahun termasuk tiga warga asing itu dibuat menerusi Op Vulture di Shah Alam, Petaling Jaya, Subang Jaya, Serdang, Klang, Hulu Selangor dan Sungai Buloh bermula 3 hingga 8 Jun.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, serbuan ini bertindak merampas pelbagai barang antaranya tujuh kenderaan, wang tunai RM51,170, 72 unit telefon bimbit, sembilan buah komputer dan pelbagai barangan berharga termasuk jam tangan.

Menurutnya, turut ditemui adalah 61 keping kad mesin pengeluaran automatik (ATM) pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam, cek pelbagai bank serta salinan rekod peribadi peminjam.

"Siasatan polis mendapati suspek terdiri daripada 10 sindiket berlainan yang mana mereka ini telah beroperasi sejak dua minggu hingga setahun lalu.

"Suspek menggunakan pelbagai medium bagi menarik mangsa termasuk poster yang digantung di kawasan tertentu dan pamplet yang ditampal serta diedarkan di dalam peti surat atau kenderaan," katanya pada sidang akhbar secara maya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor, di sini pada Isnin.

Antara barangan yang dirampas termasuk kad ATM pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam.
Antara barangan yang dirampas termasuk kad ATM pelbagai bank yang dipercayai milik peminjam.

Arjunaidi berkata, sindiket terbabit dikesan beroperasi dengan menawarkan kadar faedah 10 hingga 15 peratus sebulan kepada peminjam.

Artikel Berkaitan:

Dedah beliau, terdapat juga antara sindiket ini mampu memberi pinjaman sehingga RM1 juta kepada mangsa.

Selain itu, siasatan juga mendapati ada antara sindiket ini terlibat dalam kes penipuan pinjaman tidak wujud (PTW) dengan menawarkan pinjaman di media sosial.

"Ada enam kes PTW dikesan berlaku di negeri lain libatkan sindiket ini. Modus operandinya adalah memperdaya mangsa membayar sejumlah wang untuk membuat pinjaman, namun mangsa tidak mendapat wang yang dijanjikan," katanya.

Polis merampas pelbagai barang susulan tumpasnya 10 sindiket ah long dalam serbuan di sekitar Selangor, baru-baru ini.
Polis merampas pelbagai barang susulan tumpasnya 10 sindiket ah long dalam serbuan di sekitar Selangor, baru-baru ini.

Tambahnya, semakan lanjut juga mendapati 17 daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau.

Tegas Arjunaidi, kesemua suspek telah direman untuk siasatan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951, Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport dan Peraturan 17 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2021.