X

Kindly register in order to view this article
!

'Geng Bhai' aktif mencuri sejak PKP diberkas

Afzanizar (tengah) menunjukkan sebahagian barangan yang dicuri di tapak binaan ketika ketika sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Banda Hilir,di sini, pada Isnin
A
A

MELAKA - Polis Melaka menumpaskan satu kumpulan yang aktif mencuri barangan di tapak binaan didalangi Geng Bhai dengan anggaran kerugian kira-kira RM500,000, dipercayai sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, lima anggota geng berkenaan yang didalangi seorang lelaki warga tempatan berusia 42 tahun dikenali sebagai Bhai ditahan di dua lokasi berasingan iaitu di sebuah rumah di Taman Desa Cheng Perdana dan hotel di Batu Barendam antara 12.20 pagi hingga 12.50 pagi, pada 3 Jun lalu.

Menurutnya, sepasukan pegawai serta anggota membuat serbuan di sebuah rumah di Taman Desa Cheng pada jam 12.20 pagi dan menahan tiga lelaki. Serbuan kedua dilakukan di sebuah hotel kira-kira 30 minit kemudian dan menahan dalang kumpulan itu yang merupakan penganggur bersama teman wanitanya berusia 22 tahun.

"Kumpulan ini dipercayai aktif sejak pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu dan menyasarkan tapak kawasan pembinaan di Tanjung Minyak, Malim serta Tengkera selain sebuah rumah contoh tapak pembinaan di Banda Hilir," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Banda Hilir,di sini pada Isnin.

Beliau berkata, antara barangan dicuri termasuk perabot, barang hiasan dalaman rumah, pendingin hawa, mesin pam air, kipas, lukisan, gerudi dan lampu sorot.

Menurutnya, barangan yang dicuri dijual suspek di pasaran terbuka serta kedai barangan lusuh dan wang yang diperoleh dipercayai digunakan untuk membeli dadah.

"Semakan terhadap ketua kumpulan itu mendapati, suspek tersebut mempunyai 12 rekod jenayah dan 10 kes membabitkan kesalahan dadah.

"Kesemua suspek direman 12 hari bermula pada 4 Jun lalu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!