Polis Selangor keluar 2,251 kompaun sepanjang 'total lockdown'

Sebanyak 2,251 kompaun telah dikeluarkan polis kepada mereka yang melanggar SOP Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh Selangor sejak 1 Jun lalu. Gambar hiasan.
Sebanyak 2,251 kompaun telah dikeluarkan polis kepada mereka yang melanggar SOP Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh Selangor sejak 1 Jun lalu. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 2,251 kompaun telah dikeluarkan polis kepada mereka yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Sekatan Pergerakan Penuh di seluruh Selangor sejak 1 Jun lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, jumlah berkenaan direkodkan setakat Ahad lalu.

"Kesalahan paling ketara ialah kegagalan mengamalkan penjarakan fizikal iaitu sebanyak 541 kompaun.

"Diikuti dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 523 kompaun, tidak mengimbas kod QR MySejahtera (238 kompaun) dan selebihnya lain-lain kesalahan," katanya dalam sidang akhbar secara maya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di sini pada Isnin.

Beliau berkata, hasil pemantauan polis sepanjang tempoh berkenaan bagaimanapun mendapati sebahagian besar warga Selangor mematuhi SOP yang dikuatkuasakan pada fasa pertama ini.

Bagaimanapun, katanya, masih terdapat segelintir dalam kalangan penduduk yang ingkar dan mengambil mudah SOP berkenaan terutama penggunaan pelitup muka serta penjarakan fizikal.

"Masih ada lagi yang pergi ke satu tempat itu tanpa memakai pelitup muka, selain berkumpul berjumpa kawan dan sebagainya. Ada juga majikan yang gagal memastikan pekerja mereka mencatitkan kehadiran dalam MySejahtera," katanya.

Arjunaidi berkata, pihaknya akan terus melaksanakan tugas penguatkuasaan pematuhan SOP secara lebih serius.

Artikel Berkaitan: