Lelaki rosakkan kawat duri PKPD balik rumah ibu ditahan

Ab Rashid (kiri) yang bersama pegawainya meninjau kawasan yang diceroboh oleh suspek di lokaliti PKPD di Kampung Kutan Tengah pada Ahad.
Ab Rashid (kiri) yang bersama pegawainya meninjau kawasan yang diceroboh oleh suspek di lokaliti PKPD di Kampung Kutan Tengah pada Ahad.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki memberi alasan dia merosakkan kawat duri yang dipasang pihak berkuasa di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Kutan Tengah di sini kerana mahu berulang alik ke rumah ibunya.

Lelaki berusia 38 tahun yang dipercayai melakukan kerosakan berkenaan pada jam jam 7 malam Ahad.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintendan Ab Rashid Mat Daud, berkata, anggota polis dan pegawai yang menjalankan pemantauan di lokasi itu terserempak dengan suspek yang bermotosikal melalui lorong tikus mendekati kawasan kawat.

“Polis menahan suspek dan siasatan awal lelaki itu mengaku menyewa di Pasir Mas dan mengalihkan gelung kawat duri yang diletakkan di tali air untuk masuk ke kawasan PKPD di Tumpat dan keluar dari kawasan itu.

“Suspek memberikan alasan ingin berulang-alik dari rumah ibunya yang berada dalam kawasan PKPD tersebut,” katanya pada sidang akhbar di Kampung Kutan Tengah, Wakaf Bharu, di sini pada Isnin selepas melakukan pemantauan ke lokaliti PKPD di Kutan Tengah, Wakaf Bharu.

Menurutnya, hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif methampethamine manakala semakan menunjukkan sembilan rekod lampau membabitkan jenayah kekerasan dan dadah.

“Suspek direman tiga hari bagi membantu siasatan kes narkotik selain disiasat kerana khianat dan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)

“Siasatan dibuat mengikut Seksyen 15(1) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 427, Seksyen 269 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (342),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ab Rashi memberitahu, sejumlah 297 kes membabitkan kesalahan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) mengikut Akta 342 direkodkan di daerah itu bermula awal tahun ini.

“Polis percaya kes merosakkan atau mengalihkan kawat-kawat duri yang dipasang di PKPD ini melibatkan lebih daripada seorang individu dari kawasan setempat.

“Justeru, kami menambah kekuatan anggota kepada 60 di setiap lokaliti bagi memastikan penguatkuasaan di PKPD terus diperketatkan,” katanya.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan, seorang lelaki dikompaun RM3,000 selepas menceroboh ke kawasan PKPD di Kampung Kutan Tengah di sini semalam.

Pesalah berusia 33 tahun itu memberitahu mahu mencari siput ketika ditahan di kawasan tali air PKPD berkenaan dan pemeriksaan menjumpai pisau lipat serta pemutar skru selain urinnya positif dadah jenis metamphetamine.