DPMM gesa laksana moratorium enam bulan automatik tanpa faedah

Kenyataan DPMM Kuala Lumpur pada Isnin.
Kenyataan DPMM Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kuala Lumpur menggesa Kementerian Kewangan untuk melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan tanpa faedah dan syarat kepada semua peminjam.

Pemangku Yang Dipertua DPMM Kuala Lumpur, Ahmad Hussein Tajuddin berkata, cadangan tersebut berikutan pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 berkuat kuasa 15 sehingga 28 Jun ini seperti diumumkan kerajaan pada Jumaat lalu.

Beliau berkata, kerajaan perlu melihat cadangan itu dengan kadar segera walaupun pihak bank dilihat keberatan untuk melaksanakan moratorium pinjaman secara automatik selama enam bulan tanpa faedah dan syarat.

"Kerajaan perlu mendorong pihak bank supaya memberikan bantuan sebanyak mungkin kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang sangat memerlukan pertolongan moratorium bagi mengurangkan aliran tunai keluar mereka," katanya.

Menurutnya, sebilangan besar kos seperti sewa, gaji dan lain-lain tetap tertunggak ketika lanjutan PKP 3.0 ini dan perlu dilangsaikan dengan aliran tunai sedia ada.

"Syarikat yang layak dan mendapat insentif di bawah program subsidi upah pada PKP yang pertama juga harus diberikan kelulusan secara automatik tanpa sebarang permohonan baharu diperlukan.

"Dengan pemanjangan PKP 3.0 ini, sekurang-kurangnya 50 peratus PKS dijangka tutup dan ramai akan hilang pekerjaan terutama pada bulan Julai ini.

"PKS juga mengalami proses yang rumit dalam memohon pinjaman atau geran daripada pelbagai agensi. Ramai yang mengeluh kerana mereka gagal untuk mendapatkan geran atau pinjaman diumumkan kerajaan," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Ahmad Hussein berkata, bagi menyokong PKS supaya tetap bertahan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) perlu memperuntukkan sekurang-kurangnya 30 peratus daripada semua kontrak kepada PKS.

"Kita mendorong lebih banyak penyertaan PKS dalam platform digital untuk mengembangkan sumber pendapatan mereka. Melihat kepada keadaan semasa, kita tidak berani mengatakan bahawa ia akan pulih dalam masa terdekat.

"Semuanya tertakluk kepada inisiatif kerajaan dan rakyat Malaysia sendiri untuk memainkan peranan mereka dalam membendung wabak Covid-19," katanya.