Remaja 15 tahun pandu pacuan empat roda elak SJR ditahan

Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga remaja lari dari SJR pada Sabtu lalu.
Kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki tiga remaja lari dari SJR pada Sabtu lalu.
A
A
A

MELAKA - Sebuah pacuan empat roda yang dikesan mengelak sekatan jalan raya (SJR) di Jalan Bukit Baru- Duyong di sini pada Sabtu lalu dipandu oleh remaja berusia 15 tahun.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, remaja berkenaan memandu kenderaan milik bapa saudaranya itu bersama dua rakannya berusia 15 dan 16 tahun untuk bersiar-siar dalam tempoh Sekatan Pergerakan Penuh.

"Dalam kejadian jam 6.30 petang itu, anggota polis yang bertugas melihat sebuah kenderaan berwarna putih dalam keadaan mencurigakan kerana membuat pusingan U untuk mengelak SJR tersebut.

"Polis kemudian mengejar kenderaan itu sejauh 15 kilometer dan beberapa kali memberikan arahan supaya pemandunya berhenti namun tidak dipedulikan.

"Bagaimanapun mereka berjaya ditahan ketika cuba melarikan diri selepas keluar dari kenderaan tersebut," katanya ketika ditemui di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah, di Banda Hilir di sini pada Isnin.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, remaja berkenaan memandu kenderaan milik bapa saudaranya tanpa diketahui pemiliknya untuk membawa dua rakannya bersiar-siar selain memandu kenderaan tanpa lesen memandu.

"Ketiga-tiga remaja itu direman dan kes disiasat di bawah Seksyen 186/307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

"Mereka turut dikompaun sebanyak RM3,000 setiap seorang di bawah Peraturan 4(2) dan Peraturan 16 atas kesalahan Perintah Kawalan Pergerakan selain pemilik kenderaan juga bakal berdepan tindakan kompaun," katanya.

Artikel Berkaitan: