Giliran pemain dengan 'jiwa Malaysia' galas misi benam Thailand

Arif Aiman memperagakan aksi baik ketika Harimau Malaya menentang Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu. -Foto: FB FAM
Arif Aiman memperagakan aksi baik ketika Harimau Malaya menentang Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu. -Foto: FB FAM
A
A
A

AKSI menentang Thailand awal pagi Rabu ini meletakkan Ketua Jurulatih skuad kebangsaan Tan Cheng Hoe dan anak buahnya di bawah tekanan yang hebat untuk menepis segala kritikan diterima dalam kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Tugas berat turut dipikul Cheng Hoe pada aksi terakhir saingan Kumpulan G pusingan kedua kempen kelayakan itu bagi meraih kemenangan pasukan yang dicari-cari selepas skuad bimbingannya mengalami dua kekalahan berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Vietnam sebelum ini.

Dua kekalahan dicatat itu meletakkan Malaysia kini berada di kedudukan keempat Kumpulan G dan menutup terus peluang skuad kebangsaan ke Piala Dunia, selain terpaksa melalui jalan lebih berliku dalam memburu slot beraksi di pusingan akhir Piala Asia.

Berkongsi sembilan mata bersama Thailand yang berada di tempat ketiga, hanya kemenangan dapat memastikan Malaysia merampas kedudukan itu untuk mengesahkan slot ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 tanpa berdepan risiko lebih besar iaitu melalui aksi playoff.

Keadaan menjadi lebih sukar buat Cheng Hoe selepas tiga pemain; La'Vere Corbin-Ong, Syamer Kutty Abba dan Mohamadou Sumareh yang berada dalam kesebelasan utama menentang Vietnam tidak dapat diturunkan pada aksi di Stadium Al Maktoum, Dubai itu susulan digantung perlawanan.

Namun, situasi itu memberi peluang barisan pemain muda negara membuktikan kemampuan mereka antaranya pemain sayap kanan Arif Aiman Mohd Hanapi, 19, yang mempamerkan aksi memberangsangkan ketika menentang Vietnam dan pertahanan Muhammad Syahmi Safari, 23, yang mempunyai rekod baik berdepan Thailand.

Arif Aiman mencuri tumpuan dengan kelincahannya selepas dibawa masuk menggantikan Sumareh pada perlawanan awal pagi Sabtu lepas, sementara Muhammad Syahmi pernah meledak gol membantu Malaysia mengatasi Thailand pada aksi separuh akir Piala AFF 2018 di Bangkok.

Berdasarkan rekod 10 pertemuan terakhir sejak Disember 2010, Malaysia hanya memenangi dua perlawanan sementara tewas dan seri masing-masing empat kali.

Artikel Berkaitan:

Namun, faktanya Cheng Hoe masih belum pernah tewas dalam tiga aksi menentang skuad Gajah Perang sejak mengambil alih tugas membimbing skuad kebangsaan pada Disember 2017.

Malah pertembungan terakhir kedua-dua pasukan pada November 2019 menyaksikan kemenangan 2-1 memihak skuad Harimau Malaya dengan Brendan Gan dan Sumareh masing-masing meledak gol pada aksi kumpulan kempen kelayakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil.

Selepas dihujani pelbagai kritikan daripada peminat susulan kekalahan 0-4 kepada UAE dan 1-2 di tangan Vietnam, skuad kebangsaan tiada pilihan lain selain pulang ke tanah air dengan sekurang-kurangnya memenangi satu perlawanan atau bakal berdepan kecaman lebih hebat.

Bagaimanapun, tekanan yang tinggi mampu menggugat prestasi pemain di atas padang apatah lagi perlu berdepan cabaran getir Thailand yang turut memburu tiga mata dalam aksi terakhir mereka selepas terikat 2-2 menentang Indonesia dan tewas 1-3 kepada UAE sebelum ini.

Malah, menurut statistik sepanjang kempen kelayakan berlangsung, Thailand memiliki kekuatan pertahanan lebih baik berbanding Malaysia apabila merekodkan lapan bolos selepas tujuh perlawanan sementara Malaysia dibolosi 12 gol.

Berdasarkan ranking dunia pula, Thailand berada di posisi lebih baik di kedudukan ke-106 berbanding Malaysia di tangga ke-153.

Menjelang pertembungan itu, antara yang perlu diberi perhatian barisan pemain negara adalah corak permainan hantaran pendek serta pantas Thailand, selain kemampuan individu beberapa pemain mereka termasuk penyerang muda berusia 18 tahun Suphanat Mueanta.

Suphanat yang beraksi bersama pasukan Buriram United antara prospek terbaik pasukan Thailand selepas membuktikan kemampuannya beraksi di pentas tertinggi dengan mencipta rekod sebagai penjaring termuda Liga Thailand dan saingan Liga Juara Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC).

Namun bola sepak adalah permainan berpasukan dan skuad Harimau Malaya perlu bangkit daripada kekecewaan dua kekalahan dialami dengan menampilkan satu persembahan terpuji bagi mencari hanya kemenangan.

Bagi mencapai misi itu, Cheng Hoe bukan sahaja memerlukan barisan pemain yang berada pada tahap kecergasan tertinggi untuk mengekang asakan Thailand, malah pemain yang sanggup berkorban dengan memberikan segalanya demi lencana di dada sepanjang 90 minit permainan.

Selepas tewas kepada UAE dan Vietnam, mungkin tiba masanya Cheng Hoe memberikan nafas baharu dalam pasukannya bagi menjayakan misi membenam Thailand sekali gus menamatkan saingan Kumpulan G kempen kelayakan di kedudukan ketiga. - Bernama