PPV Bergerak sasar kawasan pedalaman

Mohd Faizal (dua dari kanan) ketika melawat PPV Bergerak Kuala Pilah di Felda Kepis pada Isnin.
Mohd Faizal (dua dari kanan) ketika melawat PPV Bergerak Kuala Pilah di Felda Kepis pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) melalui Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Bergerak Kuala Pilah mensasarkan pemberian vaksin kepada orang ramai di kawasan pedalaman di daerah ini.

Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Pengurusan Bencana Daerah ( JKPBD ) Kuala Pilah, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, ia merupakan program pertama yang dilaksanakan di Negeri Sembilan dengan inisiatif Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) hasil kerjasama Pejabat Pergigian Kuala Pilah dan pengurusan Felda Kepis.

"PPV Bergerak memudahkan penduduk yang menetap di kawasan pedalaman seperti Felda Kepis, perkampungan orang asli dan kampung pedalaman untuk menerima vaksin.

"PPV menggunakan trailer Klinik Pergigian Kuala Pilah iaitu kenderaan tunggal jenis itu yang terdapat di Negeri Sembilan," katanya dalam sidang akhbar selepas melawat PPV Bergerak Kuala Pilah di Dewan Semai Budi Felda Kepis pada Isnin.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senaling, Datuk Adnan Abu Hasan; Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintendan Amran Mohd Ghani; Pegawai Kesihatan daerah Kuala Pilah, Dr Noraliza Radzali dan Pengerusi Felda Kepis, Mohamad Daud Ahmad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Felda Kepis merupakan lokasi pertama PPV Bergerak susulan terdapat kes positif yang tinggi iaitu sebanyak 124 melibatkan Kluster Seroja Kepis.

" Selain itu, Felda Kepis merupakan kawasan pedalaman yang sukar mendapatkan kemudahan pengangkutan awam.

"Sasaran jumlah penduduk yang akan divaksin melalui program ini lebih 1,000 orang dalam tempoh lima hari bermula Isnin melibatkan kira-kira 200 penduduk dalam sehari dari jam 9 pagi hingga 5 petang.

Artikel Berkaitan:

"PKD sebelum itu telah menyenaraikan nama penduduk mengikut lokaliti di kawasan tersebut dan akan menghubungi penerima vaksin bagi mendapatkan suntikan vaksin bagi dos pertama sebelum menerima vaksin dos kedua selepas 21 hari," katanya.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, lokasi Program Outreach PICK melalui PPV Bergerak selepas ini akan ke Padang Lebar dan Seri Menanti diikuti Perkampungan Orang Asal membabitkan 13 buah kampung.

Dalam pada itu katanya, selain PPV Bergerak terdapat tiga lokasi PPV di daerah ini iaitu Dewan Dato’ Bahaman, Klinik Kesihatan Johol dan Klinik Kesihatan Juasseh.

“Sebuah lagi PPV akan dibuka di daerah ini iaitu di Kompleks Rakan Muda Kuala Pilah bagi menampung keperluan penerima suntikan bagi fasa kedua dan ketiga," katanya.