X

Kindly register in order to view this article
!

Penganggur didakwa tawar beri rasuah

A
A

SHAH ALAM - Seorang penganggur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menawar dan memberi rasuah RM120,000 kepada seorang pegawai kanan polis untuk melepaskan dirinya daripada dikenakan tindakan kerana memiliki kira-kira lima kilogram dadah jenis syabu.

Abd Aziz Abdullah @ Shariff, 39, mengaku tidak bersalah atas kedua-dua pertuduhan itu di hadapan Hakim Rihaida Rafie.

Bagi pertuduhan pertama, dia didakwa menawarkan rasuah RM120,000 kepada Penolong Penguasa Polis Asisten Superintendan Mohammad Izzuddin Zulkifly, 39, yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

Suapan itu sebagai dorongan kepada Mohammad Izzuddin agar tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas tertuduh kerana memiliki dadah jenis syabu di kawasan tempat letak kereta Mass Railway Transit (MRT) Sri Damansara Sentral, Bandar Sri Damansara, Sungai Buloh, pada 6 petang, 24 Mei lepas.

Dia turut dituduh memberi rasuah RM120,000 melalui rakannya, seorang pengusaha ayam bakar dan juga juruteknik penyaman udara sambilan, Mohd Nizam Mohamed Lazim, 36, kepada Mohammad Izzuddin agar tidak mengambil tindakan ke atasnya atas kesalahan memiliki dadah itu.

Abd Aziz melakukan kesalahan itu di Petron Persiaran Mahogani, J&H Service Station, Petaling, pada 9 malam, 24 Mei lepas.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama, yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Rihaida tidak membenarkan tertuduh diikat jamin kerana lelaki itu masih dalam tempoh tahanan reman atas kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur.

Kes yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab itu ditetapkan untuk sebutan semula dan serahan dokumen pada 12 Julai ini. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!