Parti liar jadi sarang dadah

Berikutan larangan ke atas pusat hiburan beroperasi sepanjang tempoh PKP, parti-parti liar diadakan secara tertutup di kediaman tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. - Foto 123RF
Berikutan larangan ke atas pusat hiburan beroperasi sepanjang tempoh PKP, parti-parti liar diadakan secara tertutup di kediaman tertentu bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. - Foto 123RF
A
A
A

KUCHING - Trend aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah Kuching dan Padawan telah bertukar kepada penganjuran parti-parti liar sejak Perintah Kawalan Pergerakan ketiga (PKP 3.0) dilaksanakan.

Pesuruhjaya Polis Sarawak, Datuk Aidi Ismail berkata, ekoran larangan ke atas pusat-pusat hiburan daripada beroperasi sepanjang tempoh PKP itu, parti-parti liar ini diadakan secara tertutup di kediaman tertentu dalam cubaan penganjurnya mengelak aktiviti mereka dikesan oleh pihak berkuasa.

“Bagaimanapun, sepanjang operasi khas Op Parti Liar, Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Sarawak berjaya menghidu kegiatan itu dan menahan seramai 41 orang melibatkan 27 lelaki dan 14 perempuan yang berumur antara 18 dan 42 tahun,” katanya pada sidang akhbar pada Isnin.

Beliau berkata, penahanan itu dibuat Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sarawak dalam enam siri serbuan yang dijalankan sejak 29 Mei hingga awal hari ini yang melibatkan pebagai kesalahan dadah di daerah berkenaan.

“Jumlah keseluruhan nilai anggaran dadah yang dirampas ialah RM7,000 selain rampasan lain seperti serbuk jus campuran ecstacy seberat 409.65 gram (g), ketamin (9.5 g), pil ecstasy (dua biji) dan erimin 5 (tiga biji),” katanya.

Aidi berkata, antara kesalahan yang dilakukan ialah pengedaran dadah serta memiliki dadah dan mereka ditahan di bawah Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Menurutnya, JSJN Sarawak turut berjaya membongkar satu tempat penyimpanan dan memproses campuran serbuk jus ecstacy dan ketamin di sebuah pangsapuri di bandar raya ini pada Rabu lepas.

“Dalam serbuan itu, seorang lelaki tempatan telah ditahan di bawah Seksyen 39B ADB 1952 dengan anggaran dadah yang dirampas bernilai RM250,000, selain rampasan lain iaitu pil ecstasy (50 biji), Ketamin (354.13 g), Erimin 5 (320 biji) dan serbuk jus disyaki ecstasy (13.7 kg),” katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, lelaki berkenaan telah direman selama tujuh hari untuk siasatan. - Bernama