'Daging 3 kilogram boleh kesan, tapi bom 350 kilogram tak boleh kesan'

Penduduk berkumpul di lokasi serangan bagi mengutuk pengeboman yang menyasarkan konvoi CRPF
A
A

NEW DELHI - INDIA. Seorang pemimpin kanan Parti Kongres menuduh agensi perisikan di bawah pentadbiran Perdana Menteri Narendra Modi kurang cekap kerana gagal mengesan serangan di Kashmir, minggu lalu.

Serangan bunuh diri di daerah Pulwama itu meragut lebih 40 nyawa anggota separa tentera India dari Pasukan Polis Simpanan Pusat (CRPF).

Penyerang dipercayai merempuh konvoi bas CRPF menggunakan kenderaan yang sarat dengan muatan kira-kira 350 kilogram bahan letupan RDX.

“Malang sekali, Modi mampu mengesan tiga kilogram daging lembu tetapi gagal kesan 350 kilogram RDX,” kata Haroon Yusuf merujuk kepada insiden serangan di Kashmir.

Kenyataan kontroversi Yusuf mendapat kecaman daripada pemimpin Parti Bharatiya Janata (BJP).

Namun beliau mempertahankan tindakannya kerana mendakwa pihak berkuasa di negara itu lebih cekap mengesan pengedaran daging lembu dalam usaha melindungi haiwan berkenaan.

“Apa yang saya suarakan adalah realiti di negara ini. Kamu mahu menafikannya?

“Jika kamu boleh mengesan tiga kilogram daging lembu...bunuh individu tidak bersalah...mengapa tidak 350 kilogram RDX,” soalnya.

Dalam reaksi balas, Modi berkata kenyataan Yusuf bertujuan memecahbelahkan negara dan tidak semua orang bersetuju dengan pendapatnya. - Agensi


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia