Dron bom Houthi terhempas atas bumbung sekolah di Arab Saudi

Bumbung sebuah sekolah rosak selepas sebuah dron kumpulan Houthi dari Yemen terhempas
di Asir, selatan Arab Saudi. - Foto SPA
Bumbung sebuah sekolah rosak selepas sebuah dron kumpulan Houthi dari Yemen terhempas di Asir, selatan Arab Saudi. - Foto SPA
A
A
A

RIYADH - Sebuah dron yang membawa bom dan dilancarkan oleh anggota-anggota kumpulan Houthi dari Yemen terhempas di sebuah sekolah di wilayah Asir, selatan Arab Saudi pada Ahad.

Bagaimanapun, tiada laporan tentang kecederaan dan kematian dilaporkan akibat serangan tersebut, kata seorang pegawai agensi berita rasmi, Saudi Press Agency (SPA) yang memetik kenyataan pihak berkuasa pertahanan negara tersebut.

Gambar-gambar yang disiarkan SPA menunjukkan bumbung bangunan sekolah itu rosak termasuk terdapat serpihan dron yang terhempas itu.

Kejadian itu berlaku tiga hari selepas anggota-anggota kumpulan Houthi yang mempunyai hubungan dengan Iran tersebut menyatakan ia akan menghentikan serangan di Yemen sebagai usaha untuk membuka jalan ke arah melakukan penyelesaian secara aman.

Menurut AFP, Jurucakap tentera perikatan diketuai Arab Saudi, Turki al-Maliki memberitahu stesen televisyen negara beraja itu pada Khamis lalu bahawa Houthi menghentikan serangan sebagai persediaan untuk melakukan penyelesaian politik secara aman di Yemen.

Namun, sejurus Turki membuat komen itu, media kerajaan Yemen melaporkan sekurang-kurangnya lapan orang awam terbunuh dan 27 lagi cedera dalam serangan di Marib, utara Yemen.

Perang saudara Yemen bermula pada tahun 2014 antara tentera kerajaan yang setia dengan Presiden Abdrabbuh Mansur Hadi dengan anggota-anggota pergerakan Houthi bagi merebut kepimpinan negara.

Bagaimanapun, tentera perikatan Arab Saudi yang menyokong Presiden Yemen bertindak campur tangan bagi menentang Houthi pada tahun 2015.

Artikel Berkaitan:

Pada tahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan seramai 233,000 orang terbunuh dalam perang saudara itu. - Agensi