Mujahid rayu kerajaan Perak selamatkan hutan kayu bakau

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Hutan kayu bakau di Perak dan di Kerian perlu diselamatkan daripada pencerobohan manusia.

Ahli Parlimen Parit Buntar, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof merayu Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad untuk berusaha menyelamatkan kawasan berkenaan kerana terdapat ancaman perubahan iklim yang menjadi teras strategik bagi menangani isu alam sekitar.

Pengerusi Majlis Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Perak itu turut menyatakan sokongan kepada dasar Perak Bumi Lestari.

Menurutnya, segala sumber dan pelaburan alam semula jadi kerajaan negeri akan menyumbang pulangan global bernilai AS40 hingga 50 trilion kepada ekonomi dunia dan kesejahteraan rakyat.

“Dasar Perak Bumi Lestari perlu ada komitmen untuk mengiktiraf sumbangan alam sekitar sebagai kayu pengukur kemakmuran ekonomi dan kesejahteraan rakyatnya.

“Komitmen dana untuk langkah pemeliharaan ekonomi hijau perlu diperuntukkan antaranya insentif bagi sektor yang komited pada dasar lestari,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya pada Isnin.

Mengulas lanjut, Mujahid berkata, merujuk kes Sungai Betul dan Bagan Tiang, tindakan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (SADC) menyalahi akta 172 dalam Rancangan Tempatan Daerah 2020 dan 2035 yang meletakkan kawasan itu sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar dan dilabelkan sebagai hutan.

“Hasil udang tidak dinamakan produk akuakultur di daerah Kerian. Tamak dan menyalahi undang-undang adalah rumusan formula paling berkesan untuk mengundang malapetaka alam sekitar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, Sidang Kemuncak G7 berlangsung pada 11 hingga 13 Jun di Carbis Bay United Kingdom meletakkan agenda besar dunia pasca Covid-19 adalah ancaman alam sekitar.

Menurutnya, negara-negara G7 merasakan tiba masanya komitmen dasar dan sumber untuk menghindari malapetaka alam sekitar yang bakal tiba.

“Kebimbangan terhadap fenomena kepanasan global yang meninggalkan impak kepada peningkatan paras laut dan kesan rumah hijau bakal mengancam dunia pada skala yang tidak dapat digambarkan,” ujarnya.