Pengekstrakan air bawah tanah bukan terbaik: PBAPP

Jaseni Maidinsa
Jaseni Maidinsa
A
A
A

GEORGETOWN - Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) berpandangan pengekstrakan air bawah tanah mungkin bukan pilihan yang baik untuk Pulau Pinang menyelesaikan masalah bekalan air dalam jangka masa panjang.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Jaseni Maidinsa berkata, ia juga dilihat bukan satu langkah selamat kerana pihaknya mengambil kira faktor sosio geografi selain dilihat berisiko tinggi.

Menurutnya, selain itu potensi hasil air bawah tanah terhad kerana keluasannya selain faktor risiko termasuk penurunan tanah (tanah tenggelam), banjir pada musim hujan dan pencemaran air bawah tanah.

"Kita berpandangan bahawa pengekstrakan air bawah tanah tidak mewakili penyelesaian bekalan air jangka panjang yang rasional untuk Pulau Pinang kerana negeri ini meliputi kawasan tanah seluas 1,048 km persegi.

"Oleh itu, potensi jumlah air bawah tanah yang ada adalah rendah kerana keluasan geografi Pulau Pinang yang kecil. Selain itu, penurunan tanah merupakan aspek negatif pengekstrakan air bawah tanah yang telah diteliti dan didokumentasikan secara saintifik di seluruh dunia.

"Bangkok (Thailand), Jawa (Indonesia) dan Venice (Itali) dilaporkan mengalami penurunan tanah yang dikaitkan dengan eksploitasi air bawah tanah," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Katanya, Kelantan merupakan salah satu negeri penggunaan air bawah tanah tertinggi dan hasil penyelidikan dari University of Otago, Dunedin, New Zealand pada 2018 mendapati tanah di utara Kelantan turun pada kadar maksimum sekitar 4.22 milimeter setahun.

"Pulau Pinang merupakan negeri yang maju, mempunyai kepadatan penduduk yang tinggi dan banyak bangunan tinggi. Potensi kerosakan akibat penurunan tanah mungkin menjadi bencana di kawasan bandar. Banjir merupakan kesan semula jadi eksploitasi berleluasa air bawah tanah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, banjir yang mengancam Kelantan setiap tahun juga mungkin disebabkan oleh faktor berkenaan.

"Menurut US Environment Protection Agency (EPA), di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi dengan penggunaan tanah yang intensif akan menyebabkan air bawah tanah sangat terdedah. Air bawah tanah yang tercemar boleh membawa penyakit.

"Jelasnya, di Kelantan, pengekstrakan air bawah tanah dianggap sebagai penyelesaian untuk memenuhi permintaan air di kawasan luar bandar. Di atas alasan ini air bawah tanah tidak diteroka di Pulau Pinang sejak sistem bekalan air mudah pertama beroperasi di sini pada tahun 1805," katanya.

Jaseni berkata, adalah lebih wajar bagi Pulau Pinang memfokuskan kepada beberapa penyelesaian untuk mencapai keselamatan bekalan air jangka panjang hingga 2050.

"Antara penyelesaian itu adalah pemuliharaan Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan perlindungan Sungai Muda sebagai sumber air mentah utama sedia ada dan terbukti.

"PBAPP berhasrat untuk terus mengeluarkan air mentah dari Sungai Muda di muka sauk Lahar Tiang di Pulau Pinang untuk menghasilkan air terawat bagi penduduk Pulau Pinang dengan kos yang berpatutan," katanya.

Tabah Jaseni, penubuhan Lembaga Lembangan Ulu Muda (UMBA) untuk melindungi dan menguruskan bekalan air kepada 4.2 juta rakyat di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang.

"Merealisasikan Skim Penyaluran Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS) untuk menerokai sumber air mentah yang kedua. Mengabstrak air mentah terus dari Sungai Muda di wilayah Pulau Pinang adalah percuma dan mengimport air mentah dari Perak merupakan penyelesaian air mentah lain paling efektif untuk Pulau Pinang.

"Langkah terakhir ialah pelaksanaan Fasa 1 Skim Penyahgaraman Bekalan Air Pulau Pinang (PDWSS). Pulau Pinang dikelilingi laut dan secara teorinya, jumlah air laut yang tidak terhad dapat dinyahgaram untuk memenuhi keperluan air Pulau Pinang pada musim kemarau ketika paras air sungai luar biasa rendah," katanya.