Netanyahu tersingkir, Naftali Bennett PM baharu Israel

Netanyahu (kiri) bersalaman dengan Bennett selepas sesi undian khas di Knesset pada Ahad. - Foto: AFP
Netanyahu (kiri) bersalaman dengan Bennett selepas sesi undian khas di Knesset pada Ahad. - Foto: AFP
A
A
A

TEL AVIV - Politik Israel memasuki era baharu selepas Benjamin Netanyahu yang menjadi perdana menteri paling lama memerintah akhirnya disingkirkan menerusi undi percaya di Knesset (Parlimen) pada Ahad yang turut menyaksikan ribuan penduduk di Tel Aviv meraikan kejatuhannya setelah 12 tahun memegang kuasa.

Keputusan yang memberi tamparan hebat kepada Netanyahu itu diperoleh selepas undi 60-59 yang berpihak kepada kerajaan gabungan baharu yang ditubuhkan pemimpin pembangkang, Yair Lapid bersama Naftali Bennett yang akan mengambil alih jawatan Netanyahu.

Di bawah perjanjian penggiliran dipersetujui pakatan itu, Bennett, 49, yang merupakan bekas sekutu Netanyahu, 71, dan memimpin Parti Yamina akan memegang jawatan sebagai perdana menteri selama dua tahun sebelum diambil alih oleh Lapid yang pernah bergelar pembaca berita TV sebelum ini untuk penggal seterusnya.

Kesepakatan yang membuka jalan kepada gabungan lapan parti termasuk Parti Arab buat pertama kali yang membawa kepada kejatuhan Netanyahu itu dicapai pada akhir Mei lalu, kira-kira dua bulan selepas Pilihan Raya Umum keempat Israel yang diadakan dalam tempoh dua tahun.

Sebelum proses undian itu dijalankan, Netanyahu yang seakan-akan mengetahui kedudukannya sudah berada di hujung tanduk berikrar kononnya pembangkang Israel akan mempunyai 'suara lebih jelas' jika undi tidak berpihak kepadanya.

"Sekiranya takdir menentukan kami berada di pihak pembangkang. Kami akan tetap berdiri teguh sehingga kerajaan teruk ini ditumbangkan dan kemudiannya memimpin Israel mengikut cara kami," kata pemimpin Parti Likud itu dengan angkuh.

Sementara itu, Bennett yang pernah menjadi Menteri Pertahanan berjanji kerajaan gabungan di bawah pimpinannya akan mewakili seluruh penduduk Israel selain mengekalkan beberapa dasar kontroversi kepimpinan terdahulu termasuk pendirian terhadap tuntutan Palestin.

Pada sidang sama, Knesset turut melantik Speaker baharu, Mickey Levy daripada Parti Yesh Atid yang dipimpin Lapid untuk menggantikan Yariv Levin daripada Likud selepas beliau meraih 67 undi sokongan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden antara pemimpin dunia paling awal mengucapkan tahniah di atas pelantikan Bennett sebagai Perdana Menteri baharu dan barisan baharu Kabinet Israel. - AFP