KBS rancang pusat sehenti untuk kebajikan atlet

pusat sehenti kebajikan atlet

Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman - Foto Bernama
A
A
A

KEMENTERIAN Belia dan Sukan kini dalam usaha menyiapkan sebuah pusat sehenti untuk tujuan kebajikan kepada atlet dan bekas atlet negara, kata menterinya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

"Kementerian membuat keputusan untuk membuka sebuah pusat sehenti khusus untuk atlet. Kita mahu siapkan secepat mungkin sama ada pada suku kedua atau ketiga tahun ini.

"Ia bukan satu tempat untuk menyelesaikan kes demi kes tetapi lebih bersifat menyeluruh bagi atlet. Walaupun ada yang sudah lama bersara, terbukti mereka telah berkhidmat untuk negara dan kita juga mempunyai tanggungjawab moral kepada mereka," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis pelancaran sistem pengundian secara berkomputer untuk pendaftaran penyertaan Maraton KL Standard Chartered 2019 di sini, hari ini.

Syed Saddiq berkata beliau sudah memaklumkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) bahawa keutamaan perlu diberikan kepada mereka untuk mendapatkan pekerjaan.

Menurut beliau, penubuhan sebuah pusat sehenti itu sangat diperlukan sekarang memandang banyak isu berkaitan kebajikan atlet dan bekas atlet yang menjadi tular dalam media sosial dan juga media tempatan.

Untuk tujuan kebajikan atlet juga, Syed Saddiq berkata kolaborasi dengan pihak institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA dan IPTS) telah dilaksanakan bagi menjamin masa depan atlet.

"Sekarang sudah ada 19 IPTA dan IPTS. Kita sasar sekurang-kurangnya ada satu IPT di setiap negeri yang boleh juga dijadikan sebagai hab sukan.

Artikel Berkaitan:

"Kalau boleh kita juga mahu menyerap bekas-bekas atlet ini ke universiti-universiti ini untuk bekerja dan dapat membantu menggilap bakat baharu. Jika universiti diaktifkan sebagai hab sukan, saya yakin perkara seperti ini (kebajikan) dapat ditangani dengan lebih baik," katanya.

Antara kolaborasi sudah diwujudkan adalah dengan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Terengganu, yang memberi tumpuan kepada pembangunan sukan memanah selain memberi peluang pengajian kepada atlet di universiti berkenaan.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq mahu Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) supaya memikirkan langkah terbaik mengatasi masalah penjualan tiket untuk mana-mana perlawanan besar melibatkan pasukan kebangsaan mahupun Liga Malaysia.

Mengambil contoh sistem pengundian secara berkomputer untuk pendaftaran penyertaan Maraton KL Standard Chartered 2019, Syed Saddiq berkata: "Mungkin mereka boleh mewujudkan sistem kesetiaan...kena seimbangkan penjualan tiket secara dalam talian dan juga secara manual."

Beliau juga meminta pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) memberi sokongan penuh kepada FAM untuk menyelesaikan masalah berkenaan. - Bernama