X

Kindly register in order to view this article
!

Mungkin terpaksa tunggu lebih lama

A
A

SHAH ALAM - Pengendali perkhidmatan umrah dan haji menyatakan kekhuatiran kemungkinan bakal jemaah haji Malaysia terpaksa menunggu giliran lebih lama untuk tempoh beberapa tahun lagi bagi menunaikan ibadah tersebut.

Pengerusi Andalusia Travel & Tour Sdn Bhd (Andalusia), Datuk Md Daud Che Ngah berkata, meskipun pandemik Covid-19 dijangka pulih pada tahun hadapan, namun Arab Saudi mungkin akan mengurangkan kuota jemaah.

Menurutnya, kira-kira 80,000 jemaah Malaysia bagi tahun 2020 dan 2021 kini sedang menunggu giliran untuk menunaikan haji pada tahun depan sekiranya dibenarkan berbuat demikian.

“Kalau kerajaan Arab Saudi memberi visa untuk tahun depan, saya rasa mereka tidak akan memberikan 30,200 jemaah iaitu kuota asal Malaysia walaupun situasi Covid-19 sudah pulih.

“Saya tidak fikir mereka akan beri sebanyak itu sebab ada beberapa perkara perlu ditetapkan seperti peraturan dan kadar bayaran.

“Jadi mereka mungkin akan beri kuota yang lebih kecil.

“Bila bagi kuota kecil, jemaah yang sedang menunggu bagi dua tahun tertangguh iaitu 2020 dan 2021 perlu diberikan keutamaan dan selebihnya terpaksa dimasukkan untuk senarai tahun seterusnya,” ujar beliau kepada Sinar Harian.

Muka hadapan Sinar Harian
Muka hadapan Sinar Harian

Mengulas lanjut, Md Daud berkata, meskipun jemaah Malaysia sering mendapat keistimewaan dalam perkara berkaitan ibadah haji, namun beliau berpandangan Arab Saudi juga perlu bersikap adil kepada negara lain dalam isu penetapan kuota.

ARTIKEL BERKAITAN: Malaysia tidak hantar jemaah haji, akur keputusan Arab Saudi

Menurutnya, dijangkakan terdapat beberapa syarat tambahan yang menyebabkan kenaikan kos haji sekali gus mengehadkan keupayaan Malaysia untuk menghantar jemaah haji dalam kuota asal.

Sementara itu, Presiden Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham berpandangan, bilangan jemaah yang dibenarkan untuk menunaikan haji tahun depan berkemungkinan dihadkan.“Ini mengambil kira faktor keselamatan dan kesihatan. Kalau untuk haji, kesesakan yang biasanya berlaku untuk jemaah haji yang duduk di Arafah dan Mina.

“Andai kata tahun depan Covid-19 pulih, tidak mungkin dibenarkan jumlah yang ramai kerana akan sesak di dua tempat itu.

“Jadi kalau dibolehkan pun, mungkin separuh atau mungkin suku sahaja,” ujarnya.

Pada Sabtu, Arab Saudi mengumumkan hanya 60,000 rakyatnya dan penduduk lain yang telah berada di negara itu dibenarkan menunaikan haji tahun ini berbanding 1,000 jemaah tahun lalu.

Difahamkan terdapat kira-kira 3.6 juta bakal jemaah haji yang berdaftar dengan Tabung Haji ketika ini, yang secara asasnya terpaksa menunggu sehingga 116 tahun berdasarkan kuota sedia ada.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!