X

Kindly register in order to view this article
!

PKP 3.0: Kerajaan perlu telus

A
A
BIRO Penyelidikan Pejuang mengesyorkan kerajaan untuk lebih telus dan ke hadapan dalam memaklumkan senario Covid-19, bermula dengan anggaran tempoh sebenar yang rakyat perlu untuk menempuh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Kita bersyukur yang data dari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menunjukkan usaha lockdown atau PKP 3.0 sudah membuahkan hasil. Ia menunjukkan penurunan kadar kebolehjangkitan nilai Rt (R0), ke 0.9 pada 12 Jun 2021.

Tarikh tersebut juga merupakan hari ketujuh berturut-turut R0 berada di bawah paras 1.0, yakni paras pandemik. Ini tidak bermakna keadaan di Malaysia sudah selamat dan inilah sebabnya PKP3.0 dilanjutkan, namun kerajaan masih kurang telus dalam memaklumkan bilakah PKP dijangka akan berakhir sebenarnya. (Sila rujuk kenyataan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkaitan PKP di muka surat 6)

Pada PKP2.0 yang lepas, kemuncak kadar jangkitan harian Covid-19 adalah pada tarikh 30 Januari 2021 (5,728 jangkitan). Dari tarikh tersebut, ia mengambil masa sekitar tujuh minggu atau sebulan setengah sebelum jumlah jangkitan mendatar ke tahap sekitar 1,200 sehari yakni pada pertengahan bulan Mac 2021. Jika trend ini berulang, maka kerajaan mungkin perlu meneruskan PKP 3.0 sekurang-kurangnya lagi dua bulan, yakni sehingga pertengahan Ogos 2021 untuk mencapai penurunan ke tahap jangkitan sekitar 1,200 sehari seperti pada penghujung PKP 2.0.

Melihat maklum balas pelbagai pihak selepas pengumuman melanjutkan tempoh PKP 3.0 ke 28 Jun 2021, walaupun sudah dijangka, ia tetap menambah kepada cabaran yang dihadapi rakyat. Pemanjangan tempoh PKP juga memberi implikasi besar kepada kelangsungan perjalanan ekonomi.

Setiap perniagaan perlu merancang ke hadapan dengan mengambil kira tempoh tamatnya PKP tetapi tanpa ketelusan dari kerajaan akan selama manakah ia akan diteruskan, perancangan rapi dan terperinci tak dapat dilaksanakan.

Tanpa ketelusan tentang PKP 3.0 serta maklumat Covid-19 yang lain dari kerajaan, semua sektor ekonomi akan pincang perancangannya. Mungkin ada syarikat-syarikat besar yang mampu membuat unjuran sendiri bagi merancang tetapi majoriti perniagaan kecil dan sederhana bergantung penuh kepada nasihat pihak berkuasa.

Adalah wajar untuk kerajaan memberi setidak-tidaknya anggaran akan bilakah tarikh terawal dan terkemudian PKP 3.0 bakal berakhir, walaupun jika ia selewat bulan September atau Oktober 2021.

Senario PKP 3.0 dilanjutkan sehingga beberapa bulan merupakan hujah jitu bagi pihak-pihak yang mengesyorkan moratorium penuh diberikan kepada semua peminjam oleh institusi kewangan swasta mahupun kerajaan.

Sekitar 7.7 juta rakyat telah memanfaatkan moratorium pada PKP 1.0. Oleh itu, dengan senario yang dihadapi sekarang termasuk peningkatan pengangguran, lebih ramai individu, perniagaan dan institusi sedang mempertimbangkan permohonan moratorium tetapi penilaian mereka akan dihindar tanpa ketelusan kerajaan.

Selain itu, usaha mempercepatkan vaksinasi juga berpotensi menurunkan kadar jangkitan sehingga membolehkan kelonggaran atau penamatan tempoh PKP 3.0. Menurut pakar-pakar perubatan, jumlah jangkitan akan benar-benar menurun apabila lebih dari 40 peratus penduduk sudah menerima sekurang-kurangnya dos pertama vaksin daripada dua dos yang diperlukan untuk perlindungan penuh.

Inilah antara sebabnya di United Kingdom, penumpuan diberikan kepada pemberian dos pertama dahulu kepada semua penduduk negara tersebut, dan ianya terbukti berhasil.

Memahami keperluan vaksinasi, bagi memendekkan tempoh PKP 3.0 sekaligus mengelakkan dari PKP diperlukan lagi, haruslah dijadikan pemangkin usaha meningkatkan pendaftaran dan kadar suntikan vaksin.

Namun, konteks keperluan vaksin ini mungkin tidak difahami oleh sesetengah anggota masyarakat sekiranya kerajaan terus-menerus menyembunyikan tempoh sebenar PKP 3.0.

Penurunan kadar pendaftaran vaksinasi serta penerimaan vaksin, terutama di negeri-negeri majoriti Melayu dan bumiputera, seperti Kelantan, Kedah dan Sabah mungkin boleh ditangani.

Tanpa ketelusan, tidak akan sampai keyakinan. Tanpa keyakinan, maka tiadalah kesungguhan. Untuk merialisasikan slogan Kita Jaga Kita, rakyat kini perlu kerajaan, atau MAGERAN, memimpin dengan telus bagi meyakinkan kita akan usaha-usaha yang perlu diambil bagi mengelakkan PKP berlanjutan.

* Akhramsyah Muammar Ubaidah Sanusi ialah Ketua Biro Penyelidikan, Parti Pejuang Tanah Air.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!