Semangat membara Arif Aiman

Arif Aiman memperagakan aksi baik ketika Harimau Malaya menentang Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu. -Foto: FB FAM
Arif Aiman memperagakan aksi baik ketika Harimau Malaya menentang Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu. -Foto: FB FAM
A
A
A

PEMAIN muda, Arif Aiman Mohd Hanafi berharap penyokong bola sepak tempatan tidak terlalu meletakkan harapan tinggi kepadanya selepas tampil cemerlang dalam penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika aksi menentang Vietnam pada awal pagi Sabtu lalu.

Menurut pemain sayap lincah Johor Darul Ta’zim (JDT) itu, masih banyak yang perlu dipelajarinya sebelum diberikan kepercayaan untuk membarisi kesebelasan utama Harimau Malaya.

“Saya tak ambil harapan tinggi dan pujian daripada penyokong itu sebagai satu tekanan, sebaliknya menganggap semua itu sebagai semangat saya untuk beraksi lebih baik.

“Saya juga harap penyokong tidak mengharapkan terlalu tinggi untuk saya berada dalam kesebelasan utama kerana saya masih muda selain taktikal di tangan jurulatih.

“Namun, jika saya diberikan peluang beraksi menentang Thailand, sudah tentu saya akan berikan yang lebih baik berbanding ketika beraksi menentang Vietnam,” katanya dalam sidang media secara maya di Dubai pada Ahad.

Dalam pertemuan menentang Vietnam pada awalpagi Sabtu, Arif Aiman mendapat peluang beraksi apabila dimasukkan pada minit ke-61 menggantikan pemain naturalisasi, Mohamadou Sumareh.

Kemasukan Arif Aiman itu memberikan impak pantas apabila dia dilihat berjaya menghidupkan jentera sayap Harimau Malaya dengan beberapa gerakan lincah untuk menewaskan benteng pertahanan Vietnam.

Mengulas mengenai pengalamannya ketika menentang skuad Naga Emas itu, Arif Aiman mengakui teruja pabila diberikan peluang melakukan penampilan pertama bersama Harimau Malaya.

Artikel Berkaitan:

“Mula-mula saya rasa macam gementar juga sebab tidak pernah main di peringkat antarabangsa. Apabila masuk dalam padang, saya lupakan perasaan gementar itu dan ketika menyentuh bola saya mula dapat keyakinan.

“Pengalaman saya di JDT banyak membantu kerana saya sudah biasa dengan perlawanan berintensiti tinggi. Mungkin juga jurulatih percayakan saya untuk bermain di JDT,” jelas pemain berusia 19 tahun itu.