Punca sebenar Eriksen rebah belum dikenal pasti

Eriksen
Eriksen
A
A
A

DOKTOR skuad Denmark, Morten Boesen mengakui pihaknya masih belum dapat mengenal pasti punca yang menyebabkan pemain Denmark, Christian Eriksen rebah secara tiba-tiba ketika berdepan berdepan Finland pada saingan pembukaan Kumpulan B Euro 2020 di Stadium Parken, Copenhagen, pada Sabtu.

Menurut Boesen, Eriksen disyaki mengalami serangan jantung sehingga menyebabkannya rebah secara tiba-tiba pada perlawanan berkenaan.

Bagaimanapun menurut doktor skuad Danish Dynamite itu, ujian mendapati pemain berkenaan berada dalam keadaan normal ketika kejadian.

“Sebenarnya dia telah ‘tiada’ buat seketika. Kami telah lakukan resusitasi (kaedah rawatan) terhadapnya dan mendapati ia adalah akibat serangan jantung.

“Dia kemudiannya mulai sedar setelah kami melakukan kaedah defibrilasi (kaedah rawatan) terhadapnya.

“Bagaimanapun sehingga kini kami belum dapat mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkannya rebah secara tiba-tiba dan ia menimbulkan tanda tanya,” katanya.

Pada Sabtu, Eriksen menggemparkan peminat bola sepak khususnya yang mengikuti perlawanan berkenaan apabila rebah secara tiba-tiba pada minit ke-42 pada Sabtu ketika berlari ke sebelah kiri padang setelah lontaran ke dalam buat pasukan Denmark.

Eriksen kemudiannya diberikan rawatan kecemasan di padang dengan dikelilingi oleh rakan-rakan sepasukan sebelum di bawa ke hospital bagi menerima rawatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Berikutan insiden berkenaan perlawanan antara Denmark dan Finland tertangguh seketika sebelum kembali bersambung bagi tempoh sejam dan 45 minit sebelum dimenangi Finland, 1-0 hasil jaringan Joel Pohjanpalo pada minit ke-60.

Sementara itu Boesen berkata, pihaknya masih mengkaji mengenai punca sebenar yang menyebabkan Eriksen rebah secara tiba-tiba.

Malah katanya, Eriksen kini berada di hospital bagi mengikuti rawatan lanjut.

“Berdasarkan kepada ujian yang kami lakukan setakat ini, ia telah memberikan hasil yang baik, namun kami masih tidak ada sebarang penjelasan bagaimana kejadian itu berlaku,” katanya.