Pengutip botol maut tersembam dalam longkang

Gambar kecil: T Kaliselve
Gambar kecil: T Kaliselve
A
A
A

IPOH – Rutin seorang wanita mencari botol kosong untuk dijual berakhir apabila dia ditemui mati dalam longkang besar setinggi hampir tiga meter di belakang rumahnya di Taman Pakatan Jaya, Bercham, hari ini.

Mangsa, T Kaliselve, 65, dipercayai terjatuh dan dijumpai dalam keadaan tersembam sekitar jam 9.20 pagi oleh seorang wanita yang mahu membuang sampah di kawasan tersebut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, ketika kejadian, mangsa tinggal seorang diri di rumah kerana anaknya sudah keluar bekerja.

“Maklumat kita terima memaklumkan terdapat seorang wanita jatuh ke dalam longkang dan berada dalam keadaan tidak sedar, pemeriksaan pegawai perubatan di lokasi mengesahkan mangsa telah pun meninggal dunia,” katanya.

Menurutnya, mangsa ada menghidap penyakit darah tinggi dan kencing manis sejak hampir 20 tahun lalu dan sering mendapatkan rawatan di Klinik Kampung Simee dan Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh.

“Hampir setiap pagi, mangsa akan pergi buang sampah dan kutip botol-botol plastik di tempat itu untuk dijual. Siasatan lanjut di tempat kejadian tidak menemui sebarang unsur jenayah,” katanya.

Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan bedah siasat dijalankan bagi mengetahui sebab-sebab kematian.

Artikel Berkaitan: