Jawatankuasa tolak darurat disambung: Khalid

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

SHAH ALAM - Jawatankuasa Rayuan Penamatan Proklamasi Darurat membuat keputusan untuk menolak sebarang formula yang akan menyebabkan darurat disambung lagi.

Pengerusinya, Khalid Abdul Samad berkata, pihaknya sedar bahawa kuasa yang lebih luas tidak boleh diberikan kepada mana-mana badan yang dibentuk di luar proses demokratik.

“Pada pandangan kami, pengisytiharan darurat telah gagal sepenuhnya. Kerajaan mendakwa bahawa objektif awal darurat tersebut adalah untuk menangani pandemik Covid-19 secara efektif dan mengekalkan kestabilan sosial.

“Jelas bahawa pandemik ini telah menjadi lebih membimbangkan dan ekonomi negara kini berada di ambang kelumpuhan selepas darurat diisytiharkan,” dakwanya menerusi kenyataan yang disiarkan di Facebooknya pada Ahad.

Khalid yang merupakan Ahli Parlimen Shah Alam berkata, pihaknya percaya bahawa darurat perlu ditamatkan dengan segera dan Parlimen perlu bersidang semula supaya sistem semak dan imbang institusi demokratik negara dikembalikan.

Beliau yang merupakan Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, jawatankuasa itu juga menghargai usaha Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mendengar sudut pandang daripada ketua-ketua parti politik pemerintah dan pembangkang.

“Sebagai badan yang berkempen untuk menamatkan darurat, kami juga telah menyerahkan permohonan rasmi untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong pada 20 April lalu.

“Jawatankuasa telah membuat keputusan untuk mengutuskan sepucuk surat lagi bagi menyatakan hajat membentangkan memorandum bersama petisyen yang telah kami kumpulkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Artikel Berkaitan: