Lelaki maut terkena renjatan elektrik

No Image Caption
A
A
A

GUA MUSANG - Seorang lelaki berusia 56 tahun ditemukan maut dipercayai terkena renjatan pagar elektrik yang dipasang sendiri untuk menghalau haiwan liar daripada memasuki kebunnya di Kampung Star Baru di sini pada Ahad.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, mangsa, Mokhtar Mat Nor ditemukan jirannya kira-kira jam 8 pagi dengan mayatnya dalam keadaan terbaring dan keseluruhan badannya hangus.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai maut dalam kejadian kira-kira tiga hari lalu apabila kakinya terbelit pada dawai yang disambungkan antara pagar elektrik berkenaan dengan rumah mangsa.

"Kakitangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) juga terpaksa dipanggil untuk memotong terlebih dahulu dawai yang dipasang untuk kebunnya itu kerana masih ada arus elektrik bagi membolehkan mayat mangsa dibawa keluar," katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Gua Musang bagi proses bedah siasat.

Sementara itu, Mohd Razali Harun, 54 berkata, dia tidak bertemu dengan mangsa sejak tiga hari lalu namun tidak menyangka bahawa mangsa ditimpa kemalangan sebegitu.

Menurutnya, dia terhidu bau busuk dari rumah Mokhtar ketika keluar untuk menoreh getah sebelum menjumpai mayat mangsa.

"Sebaik masuk ke dalam rumah, saya melihat mangsa terbaring. Saya tidak berani untuk mendekatinya kerana dawai itu mungkin masih ada arus elektrik," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian. - Bernama

Artikel Berkaitan: