Ketum bernilai RM100,000 cuba lepas SJR

Shamsudin (kanan) menunjukkan rampasan daun ketum bernilai RM100,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada Ahad.
Shamsudin (kanan) menunjukkan rampasan daun ketum bernilai RM100,000 di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada Ahad.
A
A
A

BALING- Empat lelaki ditahan bersama 315 bungkusan daun disyaki ketum bernilai anggaran RM100,000 dalam dua pemeriksaan berasingan di sekatan jalan raya (SJR) Baling-Gerik awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, tangkapan pertama membabitkan tiga lelaki berusia antara 20 hingga 30 tahun bersama sebuah lori jenis Nissan yang membawa 300 bungkusan hitam berisi daun ketum yang diletakkan di ruang belakang kenderaan terbabit pada jam 12.15 tengah malam.

Menurutnya, pemeriksaan kedua dilakukan ke atas sebuah kereta jenis Proton Persona yang dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun sebelum menemui 15 bungkusan hitam berisi daun disyaki ketum di bahagian bonet kereta pada jam 2.30 pagi.

"Kedua-dua kenderaan tersebut sedang melalui SJR Baling-Gerik berdekatan simpang tiga Jerai, dari arah Kupang menghala ke arah Gerik," katanya kepada media di Ibu Pejabat Polis Daerah Baling pada Ahad.

Berat keseluruhan rampasan adalah kira-kira 3,150 kilogram (kg) bernilai anggaran RM100,000.

Shamsudin menjelaskan, saringan yang dijalankan mendapati dua daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine dan seorang daripadanya benzo.

Hasil semakan juga mengesahkan kesemuanya mempunyai rekod lampau jenayah narkotik.

Perintah reman dikenakan selama empat hari sehingga 16 Jun 2021 bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan:

Kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.